BAGAN DATUK – Kerajaan memantau rapat perkembangan banjir di Sabah yang menyaksikan jumlah mangsa meningkat kepada 6,655 orang setakat petang Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua agensi berkaitan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas terjamin.
“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi penguatkuasaan lain sedang menyantuni mangsa di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini pada Jumaat.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, banjir yang melanda sejak Rabu menyaksikan ribuan mangsa ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini PPS dibuka di tiga daerah iaitu Paitan, Kota Marudu dan Pitas, namun keadaan banjir menunjukkan perubahan apabila kawasan terjejas beralih ke Beaufort, Sipitang serta beberapa daerah lain.
“Saya berharap hujan yang dijangka berterusan sehingga Mac ini tidak akan memburukkan lagi keadaan atau menjejaskan persiapan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kita sama-sama berdoa agar luruan hujan berkurangan dan keadaan kembali pulih,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 6,655 orang daripada 2,326 keluarga setakat jam 4 petang berbanding 5,860 orang daripada 2,067 keluarga pada tengah hari.
Tiga daerah mencatatkan peningkatan mangsa tertinggi iaitu Tenom dengan 4,345 orang daripada 1,467 keluarga, diikuti Beaufort (1,529 orang daripada 535 keluarga) dan Membakut (441 orang daripada 173 keluarga).
Kesemua mangsa ditempatkan di 31 PPS yang dibuka sejak Rabu lalu.