SHAH ALAM - Cadangan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah wajar namun perlu disertai penambahbaikan baharu agar selari dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ketiadaan peperiksaan seragam telah mewujudkan jurang penilaian ketara berikutan sistem pendidikan kini bergantung kepada penilaian pentaksiran berasaskan bilik darjah dan sekolah.
Menurut beliau, pendekatan tersebut menyebabkan ketiadaan kayu ukur yang utuh dan ia lebih kepada penggalakan pemberian gred tinggi di sekolah tanpa piawaian penilaian yang kukuh.
“Peperiksaan nasional penting untuk menilai dan mengukur keupayaan asas 3M atau 4M (membaca, menulis, mengira, menaakul) selain menilai kesediaan pelajar untuk proses penstriman di peringkat menengah.
“Ia juga membolehkan tugas-tugas atau kerja pemulihan dapat dilaksanakan secara tersusun, bermakna, sempurna tanpa mengabaikan pelajar yang tercicir,” katanya di sini pada Sabtu.
Mohamad Ali turut mencadangkan beberapa penambahbaikan antaranya tidak memfokuskan aspek teori semata-mata, menekankan kepada keseimbangan komponen amali dan penyelesaian dengan nisbah 60: 40, manakala nisbah penilaian peperiksaan akhir tahun dan pentaksiran bilik darjah pula pada kadar 75:25.
“Pendidikan berkualiti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memanfaatkan penggemblengan tenaga profesional pada setiap peringkat.
“Mana-mana negara yang tercicir untuk mendapatkan pendidikan berkualiti perlu diberi bimbingan seutuhnya agar mereka dapat memenuhi keperluan negara dan bersaing di peringkat global,” katanya.