Pijak al-Quran: Hukuman tegas elak provokasi 3R berulang - Mufti

Iklan
Ahmad Fauwaz

SHAH ALAM – Hukuman tegas yang bakal dikenakan kepada pelajar yang menghina Islam dengan memijak al-Quran diharapkan mampu memastikan tiada lagi pihak yang sengaja menimbulkan permusuhan dan provokasi terhadap isu agama, kaum dan raja (3R) di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, tindakan undang-undang yang tegas terhadap kes tersebut dijamin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Fahmi Fadzil, serta pelbagai agensi kerajaan.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan biadab, melampau dan tidak boleh diterima sama sekali, khususnya di dalam negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apatah lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia yang turut dikenali sebagai bulan al-Quran yang diagungkan oleh umat Islam. Kitab al-Quran merupakan kalam ALLAH SWT dan kitab suci umat Islam yang wajib dijaga dan dipelihara kesuciaannya.

Iklan

“Umat Islam wajib berasa marah dan menolak perbuatan ini secara tegas. Ketegasan di sini bermaksud kita mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya terhadap pelaku tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam Tinta Mufti Bilangan 84/2026 yang dimuat naik menerusi laman sesawang Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada Khamis.

Terdahulu, aksi memijak al-Quran dimuat naik melalui akaun Threads ryandaselva, mencetuskan kecaman meluas.

Iklan

Polis mengesahkan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan insiden tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

Ahmad Fauwaz menegaskan tindakan tegas perlu supaya kejadian biadab seperti itu tidak berulang.

Beliau berkata, jika dilakukan oleh seorang Muslim, perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa, malah jika bertujuan menghina, pelaku boleh dianggap murtad dan kafir secara ijmak ulama.

"Bagi orang bukan Islam yang melakukan perbuatan menghina perkara suci dalam agama Islam pula, mereka akan diberikan balasan azab yang pedih atas perbuatan penghinaan mereka tersebut sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-10 Surah al-An’am.

“Maksudnya ‘Dan demi sesungguhnya telah diperolok-olok beberapa rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu’.

“Imam Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa golongan kafir berkenaan akan ditimpakan azab yang dahsyat di mana mereka menyangkakan bahawa azab tersebut tidak akan berlaku ke atas mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ahmad Fauwaz berkata, dalam kejadian yang menimbulkan kemarahan, Islam mengajar agar menjadi umat bijaksana dalam mengambil tindakan yang tepat bagi menanganinya dengan berkesan dan berhikmah.

Oleh itu, beliau menjelaskan, umat Islam tidak boleh membiarkan provokasi murahan mengheret mereka kepada konflik yang lebih besar kerana dikhuatiri api kemarahan yang tidak terkawal membawa kepada kerugian dan akibat yang sukar dibaiki.

“Sikap matang dan berhikmah dalam mengambil tindakan bukan sahaja dapat menyelesaikan isu dengan berkesan, tetapi juga dapat mengelakkan daripada pelbagai konflik lain yang tidak sepatutnya timbul.

“Inilah cara dan kaedah yang betul diajarkan oleh Islam dalam menangani isu-isu seperti ini. Oleh yang demikian, kita perlu menyerahkan urusan ini kepada pihak berkuasa agar diberikan hukuman tegas dan setimpal dengan perbuatan biadab yang telah dilakukan itu,” kata beliau.