SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan komitmennya untuk memacu kestabilan ekonomi Malaysia dan jaminan tenaga jangka panjang, dengan memastikan bekalan elektrik kepada kediaman, perniagaan dan industri terus berdaya harap di seluruh negara.
Bagi tahun kewangan 2025 (TK2025), Syarikat terus menunjukkan prestasi kewangan yang mampan, sekali gus memperkukuh keupayaannya untuk menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang saham dan rakyat.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kejayaan itu diterjemahkan secara langsung kepada manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama yang berkhidmat untuk negara, keutamaan kami melangkaui prestasi kewangan yang kukuh, ia adalah tentang menyalurkan pencapaian kami kepada pelaburan bermakna yang mengukuhkan negara serta memberikan manfaat sosioekonomi yang signifikan kepada rakyat,” kata Megat Jalaluddin.
Dividen memberi manfaat kepada negara
Prestasi TNB bagi TK2025 membolehkannya mengisytiharkan anggaran dividen sebanyak RM3.1 bilion kepada para pemegang saham, dengan 60.7 peratus akan diagihkan kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Pembayaran dividen ini mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam memulangkan nilai kepada pemegang saham dan seterusnya kepada rakyat, memandangkan dana ini menyalurkan manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia melalui simpanan dan pencen.
Kemakmuran dikongsi bersama
Sepanjang tahun 2025, TNB memainkan peranan aktif dalam memperkasa komuniti di seluruh negara, dengan menyumbang lebih RM232.3 juta menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk:
•Sokongan Pendidikan (RM137 juta): bantuan kepada pelajar melalui Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memperkukuh pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.
• Pembangunan Sukan (RM11 juta): memberi manfaat kepada 67,100 atlet dan penggiat sukan, termasuk program hoki kebangsaan.
• Bantuan Persekolahan (RM4.2 juta): inisiatif seperti Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 17,500 murid dan 50 buah sekolah.
• Khidmat Komuniti dan Sokongan (RM10.1 juta): inisiatif sokongan komuniti yang menyeluruh, termasuk program Ihya’ Ramadan, Projek Mesra Rakyat dan bantuan bencana, memberi impak positif kepada lebih 140,000 individu.
• Inisiatif Kesihatan (RM0.6 juta): bantuan kewangan kepada 24,500 penerima manfaat, termasuk sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan dan institusi perubatan.
• Inisiatif solar di rumah ibadat (RM0.6 juta): menyokong penjimatan kos tenaga dan usaha kelestarian di institusi keagamaan terpilih.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosialnya, TNB turut menyumbang RM32.9 juta dalam bentuk zakat perniagaan kepada pelbagai institusi zakat di seluruh Malaysia.
Selain itu, sejumlah RM11.9 juta zakat wakalah telah disalurkan kepada lebih 36,000 penerima asnaf.
Prestasi mampan dan kekuatan operasi
TNB menutup TK2025 dengan prestasi yang kukuh, merekodkan pendapatan sebanyak RM4.8 bilion dengan disokong oleh:
• Pertumbuhan permintaan elektrik: jumlah jualan elektrik sebanyak 133.9 TWj bagi TK2025.
• Kesan pertukaran asing yang positif: keuntungan RM652 juta, terutamanya hasil pengukuhan nilai Ringgit daripada RM4.471/USD pada Disember 2024 kepada RM4.057/USD pada Disember 2025.
Selain itu, TNB kekal komited dalam memodenkan dan mengukuhkan grid, dengan perbelanjaan sebanyak RM12 bilion pada tahun 2025 bagi mengekalkan jaminan bekalan, memenuhi pertumbuhan permintaan serta melaksanakan projek peralihan tenaga.
Usaha ini telah menghasilkan impak yang boleh diukur dalam meningkatkan pengalaman pelanggan:
• Mengekalkan prestasi Sistem Minit bertaraf dunia pada 0.15 minit.
• Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 46.93 minit.
Syarikat juga mengekalkan skor Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) yang tinggi pada 9.0 iaitu pencapaian tertinggi setakat ini, sekali gus mencerminkan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.
Tahun ini turut menyaksikan kesinambungan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) yang mencerminkan persekitaran kawal selia yang stabil dan berwawasan, yang mana TNB menghargai sokongan kerajaan dan badan pengawal selia atas sokongan terhadap pertumbuhan industri yang mampan.
Pencapaian lain pada tahun 2025 termasuk:
• Jenama Terbaik Tahun 2025–2026 di World Branding Awards di Osaka.
• Jenama utiliti terunggul di ASEAN dan kedua terbaik di peringkat global oleh Brand Finance. • Meluaskan kedudukan global dengan memperoleh kontrak penyelenggaraan selama tujuh tahun di Kuwait, serta pelaburan di Australia dan United Kingdom.
Memperkukuh masa depan tenaga Malaysia melalui kerjasama serantau
Malaysia mempercepat peralihan tenaganya, TNB terus memainkan peranan penting dalam menyokong objektif kerajaan untuk meningkatkan kerjasama tenaga serantau dan daya tahan sistem dalam jangka panjang.
Peranan ini dizahirkan menerusi pemeteraian beberapa perjanjian rentas sempadan pada tahun 2025:
• Perjanjian Pembangunan Bersama dengan SP Group dan Singapore Energy Interconnections dari Singapura bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan penuh untuk sambungan elektrik kedua antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.
• MoU dengan State Grid Corporation of China melibatkan pendigitalan grid, teknologi pengagihan termaju dan strategi pemodenan.
Memacu pertumbuhan negara dan pembangunan tenaga kerja
Sebagai pemangkin utama pembangunan Malaysia, TNB terus membawa sumbangan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sejak 2024, syarikat telah menyalurkan RM9.3 bilion iaitu 55.2 peratus daripada jumlah perolehannya, kepada vendor bumiputera.
Jumlah itu memberi manfaat kepada lebih 1,200 syarikat bumiputera di seluruh negara dan memperkukuh penyertaan ekonomi yang inklusif.
TNB juga terus komited dalam meningkatkan kebolehpasaran dan kestabilan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.
Pada tahun 2025, Syarikat memperkukuh tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya tahan bagi menyokong kecemerlangan operasi serta pertumbuhan jangka panjang.
Berlandaskan momentum ini, TNB merancang untuk mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu pada tahun 2026, didorong oleh peluasan inisiatif perbelanjaan modal serta pertumbuhan portfolio projeknya.
Mengekalkan momentum menuju 2026 dan seterusnya
TNB akan terus melabur dalam inisiatif yang memberikan nilai jangka panjang kepada negara dan rakyatnya.
Ini termasuk meningkatkan pelaburan modal bagi memperkukuh infrastruktur tenaga negara, usaha berterusan memupuk bakat masa hadapan, serta peluasan program CSR bagi menyokong komuniti yang memerlukan.
“Melangkah ke tahun 2026, fokus kami kekal jelas iaitu untuk menjana kemajuan Malaysia secara bertanggungjawab dan inklusif. Melalui pelaburan berterusan, pembangunan bakat dan inisiatif komuniti, TNB akan terus memainkan peranannya dalam membina ekonomi yang kukuh demi manfaat seluruh rakyat Malaysia,” kata Megat Jalaluddin.