GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bayaran berkenaan akan dibuat selewat-lewatnya pada 16 Mac ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, selain penjawat awam negeri, kerajaan negeri turut bersetuju menyalurkan BKKA 2026 sebanyak RM300 kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), tahfiz, pondok, Tadika Islam (TADIS) serta sekolah persendirian Cina di negeri itu.
“BKKA 2026 ini dianggarkan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM8.49 juta kepada kerajaan Pulau Pinang dan memberi manfaat kepada 7,317 penerima.
“Ia sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan serta komitmen tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan gagasan Visi Penang2030 ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, pemberian bantuan khas itu diharap dapat meringankan beban kewangan penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Artikel Berkaitan