GEORGE TOWN – Kes keracunan racun tikus haram menunjukkan trend membimbangkan apabila majoriti mangsa yang dilaporkan adalah kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan bahan berbahaya itu di rumah.
Pegawai Farmasi UF14, Perkhidmatan Maklumat Ubat & Racun, Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia, Asdariah Misnan berkata, peningkatan ketara panggilan berkaitan keracunan racun tikus dikesan sepanjang tahun 2023 hingga 2025 melalui Perkhidmatan Maklumat dan Nasihat Keracunan.
Menurutnya, analisis data bagi tempoh 2023 hingga 2025 menunjukkan sebahagian besar kes keracunan racun tikus membabitkan racun haram atau tidak berdaftar.
"Pada tahun 2023, sebanyak 42 kes racun haram direkodkan daripada 94 keseluruhan kes racun tikus.
"Jumlah itu meningkat kepada 61 kes daripada 143 keseluruhan kes pada tahun 2024 manakala bagi tahun 2025 pula sebanyak 51 kes racun haram dilaporkan daripada 118 keseluruhan kes," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, bagi tempoh tiga bulan sahaja iaitu Oktober hingga Disember 2025, terdapat peningkatan mendadak sebanyak 35 kes keracunan racun tikus dengan 18 kes atau 51.4 peratus daripadanya melibatkan racun tikus haram atau tidak berdaftar.
"Sebanyak 60 hingga 70 peratus kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun, menjadikan golongan itu paling terdedah kepada risiko keracunan di rumah.
"Separuh daripada kes pula dilaporkan berlaku secara tidak sengaja apabila mangsa khususnya kanak-kanak termakan umpan racun yang dicampur bersama makanan dan diletakkan di kawasan terbuka serta mudah dicapai," jelasnya.
Asdariah berkata, penelitian terhadap kes yang diterima mendapati beberapa jenama racun tikus tidak berdaftar yang sering terlibat antaranya Smell to Death, Morat, Mao Wang, Hai Zhen Wei, Super Rat Killer, Victory, RTV Rat Poison dan Tomrat selain produk berlabel tulisan Bahasa Cina tanpa nombor pendaftaran sah.
"Kebanyakan produk berkenaan dibeli secara dalam talian termasuk melalui platform e-dagang serta daripada peniaga tanpa lesen di pasar malam.
"Pemantauan mendapati, berlaku ketidaktelusan dalam pelabelan produk tidak berdaftar termasuk laporan kepekatan bahan aktif yang dikesan lebih tinggi berbanding yang dicetak pada label," katanya.
Lebih membimbangkan katanya, ujian makmal turut mengesan bahan aktif berbeza daripada yang disenaraikan pada label atau laman web produk dan didapati lebih toksik atau telah diharamkan di kebanyakan negara.
"Antara bahan aktif sangat toksik yang dikesan ialah Tetramethylenedisulfotetramine (TETS), Sodium monofluoroacetate (SMFA), Fluoroacetamide dan asid Fluoroacetic yang boleh menyebabkan sawan berulang serta kematian walaupun diambil dalam jumlah sangat kecil.
"Pada Julai 2024, kes kematian dua kanak-kanak di Kulim, Kedah akibat termakan racun tikus yang diletakkan pada keropok turut dikaitkan dengan racun toksik tidak berdaftar yang menjadi punca sawan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan penjual bagi membanteras penjualan racun tikus tidak berdaftar.
"Penguatkuasaan dan kawalan lebih tegas perlu dilaksanakan supaya penjualan produk berbahaya itu dapat dihentikan sepenuhnya.
"Penjual termasuk pengendali platform e-dagang yang berlesen dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) sahaja dibenarkan menjual racun perosak yang berdaftar," tegasnya.
Selain itu, beliau berkata, penjual wajib mempamerkan nombor pendaftaran sah LRMP, contohnya bermula dengan kod “LRMP R1/XXXX” sebelum sesuatu produk disenaraikan untuk jualan.
"Mengikut Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penggunaan racun perosak tidak berdaftar adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
"Sebagai pengguna, orang ramai perlu memastikan produk racun perosak yang dibeli berdaftar dengan LRMP dan mempunyai label lengkap yang memaparkan nama dagangan, bahan aktif, maklumat pengeluar atau pengedar, nombor pendaftaran, arahan penggunaan, maklumat tanda keracunan serta rawatan kecemasan.
"Label juga perlu lengkap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris," ujarnya.
Beliau menambah, PRN memandang serius peningkatan kes keracunan racun tikus tidak berdaftar dan bersedia bekerjasama serta menyokong tindakan segera, bersepadu dan tegas oleh semua pihak berkepentingan bagi mengekang penularan produk berbahaya itu.
"Setiap kes keracunan akibat racun tikus haram boleh dicegah melalui kawalan produk yang berkesan, amalan jualan bertanggungjawab serta pengguna yang lebih peka dan berhati-hati," katanya.