SHAH ALAM – Peluang mendapatkan lebih banyak buku tanpa perlu berbelanja besar menarik perhatian pengunjung Jualan Gudang Karangkraf di sini yang bermula pada Jumaat.
Promosi 'Sebakul RM50' membolehkan pengunjung memilih pelbagai bahan bacaan untuk diri sendiri, anak-anak dan ahli keluarga pada harga lebih rendah.
Menurut pengunjung Nur Fatihah Moiden, 36, promosi itu memberi peluang kepadanya membeli 70 buku untuk diri sendiri dan anak buah termasuk genre motivasi, agama, novel serta aktiviti kanak-kanak.
Katanya, tawaran buku berharga serendah RM1 juga membantu ibu bapa mendapatkan bahan pembelajaran untuk anak-anak terutama buku aktiviti prasekolah.
Sementara itu, pelajar universiti awam, Muhammad Fariz Muhammad Yusri, 23, berkata, tawaran berkenaan membantu golongan pelajar mendapatkan lebih banyak buku tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
Menurutnya, buku bergenre aksi dan romantik menjadi pilihan untuk menambah koleksi peribadi selepas mengetahui mengenai jualan tersebut menerusi media sosial.
“Sebagai pelajar, bukan semua orang mampu membeli banyak buku, jadi promosi macam ini memang membantu kami berjimat dan mendapatkan bahan bacaan yang diminati,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi pengunjung, Yusliza Mohd, 44, berkata, promosi berkenaan bukan sahaja membantu orang ramai mendapatkan buku pada harga lebih rendah, malah memberi peluang kepada ibu bapa memperkenalkan bahan bacaan kepada anak-anak.
Menurutnya, tawaran itu juga boleh membantu memupuk semula minat membaca, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang kini lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon.
“Daripada 31 buku yang saya beli tadi, separuh daripadanya untuk anak-anak. Sekurang-kurangnya mereka ada bahan bacaan sendiri dan dapat didedahkan dengan buku, bukan hanya telefon,” katanya.
Pada masa sama, Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Muhamad Khair Mohamad Sabilan berkata, konsep Zon Bakul Jimat Gila diperkenalkan sempena Jualan Gudang Akhir Tahun 2026 bagi menjadikan pengalaman membeli buku lebih menarik dan berbaloi kepada pengunjung.
Khair berkata, lebih 300 judul buku disediakan sepanjang jualan berkenaan bagi membuka peluang kepada lebih ramai masyarakat mendapatkan bahan bacaan berkualiti pada harga mampu milik.
“Kami mahu ibu bapa mendapatkan lebih banyak buku untuk anak-anak, pelajar memiliki bahan bacaan tambahan dan orang ramai meneroka pelbagai ilmu tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar,” katanya.