20 pasukan rebut gelaran Dragon King di Genting Highlands

Iklan
Spencer (berdiri, kiri) bergambar selepas sidang akhbar dan majlis cabutan undi National Luminous Dragon King Championship 2026 yang bakal berlangsung di Arena of Stars, RWG pada 28 dan 29 November ini.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 pasukan tarian naga dari seluruh negara bakal berentap merebut gelaran juara dalam kejohanan National Luminous Dragon King Championship 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting (RWG) pada 28 dan 29 November ini.

Memasuki edisi kedua penganjurannya, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM15,000 dengan juara membawa pulang RM8,000, naib juara RM5,000 dan tempat ketiga RM2,000.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, keistimewaan kejohanan itu terletak pada gabungan seni tradisional tarian naga dengan persembahan pentas kontemporari.

“Naga bercahaya, irama gendang yang bertenaga, aksi akrobatik dan prop kreatif memberikan pengalaman berbeza kepada penonton dalam menghayati seni warisan yang telah menjadi sebahagian daripada sambutan perayaan dan kebudayaan masyarakat sejak turun-temurun,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada majlis cabutan undi kejohanan di Wisma Genting pada Jumaat yang turut menentukan giliran persembahan setiap pasukan bagi pusingan awal pada 28 November.

Menurut Spencer, pihak RWG teruja melihat Arena of Stars menampilkan suasana dan karakter berbeza menerusi penganjuran acara seumpama itu.

Iklan

"Kami berharap penonton bukan sahaja dapat menikmati kehebatan persembahan malah turut menghargai dedikasi dan nilai seni di sebalik setiap persembahan," katanya.

Tambahnya, Segmen Prop Kreatif yang diperkenalkan pada edisi sulung turut kembali dipertandingkan tahun ini.

Menerusi segmen itu, setiap pasukan berpeluang menghasilkan prop tersendiri dengan menggabungkan elemen penceritaan, tema kebudayaan dan nilai seni dalam persembahan.

Daripada 20 pasukan bertanding, hanya 10 pasukan terbaik akan mara ke peringkat akhir pada 29 November bagi merebut gelaran Dragon King.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan dan khidmat nasihat daripada Catholic High School Alumni Association Dragon & Lion Dance Troupe yang berkongsi pengalaman serta kepakaran bagi membantu pelaksanaan pertandingan.

Tiket bagi pertandingan selama dua hari itu ditawarkan pada harga RM188 untuk kategori PS1 dengan tempat duduk bernombor, manakala kategori PS2 berharga RM108 dengan tempat duduk bebas.

Bayaran pemprosesan RM4 dikenakan bagi setiap tiket.

Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rwgenting.com, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi RWG.