Potongan hasil padi 40 peratus bebankan pesawah

Iklan
Nordin (dua dari kanan) bersama wakil pesawah Perak Tengah mengadakan lawatan ke Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini bagi mempelajari kaedah rawatan tanah menggunakan bahan organik serta teknik pereputan jerami.

KUALA SELANGOR – Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu pemutuan padi yang menyebabkan pesawah di daerah Perak Tengah berdepan potongan hasil sehingga 40 peratus.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek, berkata masalah itu memberi kesan besar kepada kira-kira 1,200 pesawah yang terpaksa menanggung kerugian akibat kemerosotan kualiti hasil padi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengilang memberikan alasan potongan tersebut dibuat berikutan kualiti padi yang rendah, khususnya akibat penghasilan padi angin.

“Jika sistem pengairan, pembajaan dan pembajakan dapat dilaksanakan dengan baik, mungkin kadar potongan pemutuan padi boleh dikurangkan kepada bawah 15 peratus,” katanya selepas lawatan bersama wakil pesawah Perak Tengah ke Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

Iklan

Dalam lawatan itu, peserta diberi pendedahan mengenai kaedah rawatan tanah menggunakan bahan organik serta teknik pereputan jerami.

Mengulas lanjut, Nordin berkata kawasan seluas 3,160 hektar tanaman padi di Bota-Lambor, Perak Tengah, berdepan isu potongan antara 20 hingga 50 peratus sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Iklan

Beliau berkata, masalah bekalan air di kawasan berkenaan bukan sahaja disebabkan fenomena El Nino yang menurunkan paras air Sungai Perak, malah turut dikaitkan dengan penyelenggaraan rumah pam serta sistem ban dan parit yang tidak memuaskan.

“Keadaan ini dipercayai berpunca daripada masalah bekalan air yang sebelum ini menyebabkan sebahagian pesawah di kawasan Bota terlepas satu musim penanaman pada Mac lalu,” katanya.

Menurut beliau, hasil pemantauan dan tindakan susulan bersama kerajaan negeri Perak serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bekalan air akhirnya berjaya disalurkan ke kawasan sawah dalam tempoh tiga minggu.

“Pesawah sebelum itu menunggu hampir setahun untuk mendapatkan bekalan air, malah terdapat kawasan bendang yang langsung tidak menerima bekalan air.

“Justeru, aspek infrastruktur pengairan perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan antara keperluan utama dalam memastikan tanaman padi dapat diusahakan dengan sempurna,” katanya.

Nordin turut menggesa kerajaan mempertingkatkan penyelidikan dan penyediaan benih padi yang lebih tahan terhadap fenomena El Nino serta perubahan cuaca bagi membantu mengurangkan risiko kerugian yang ditanggung pesawah.