D'Senyum sasar kerjasama IPT tingkat kesedaran kesihatan pergigian

Iklan
Golongan belia dan warga universiti merupakan antara kumpulan penting yang boleh memainkan peranan menyebarkan kesedaran mengenai amalan penjagaan kesihatan pergigian dalam masyarakat.

AMPANG – Kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan golongan muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan diperluas menerusi perancangan kerjasama antara Kumpulan Pergigian D'Senyum dan institusi pendidikan berkenaan.

Inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, ahli akademik serta kakitangan pentadbiran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut, termasuk amalan kebersihan gigi dan langkah pencegahan masalah pergigian.

Iklan
Iklan

Pengerusi Kumpulan Pergigian D'Senyum, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, pihaknya berhasrat meneroka peluang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi melaksanakan program pendidikan kesihatan pergigian secara berterusan.

Menurutnya, pendidikan dan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mulut perlu diberikan perhatian kerana ia menjadi asas kepada pembentukan tabiat penjagaan gigi yang baik dalam masyarakat.

Iklan

"Kesihatan oral yang baik bermula dengan kesedaran, pendidikan dan keyakinan untuk mendapatkan rawatan apabila diperlukan.

"Melalui inisiatif ini, kami mahu memperluas pendidikan kesihatan pergigian kepada komuniti institusi pendidikan supaya lebih ramai memahami kepentingan penjagaan gigi secara pencegahan," katanya.

Iklan

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, antara pengisian program yang dirancang termasuk ceramah kesihatan mulut, bimbingan praktikal penjagaan kebersihan gigi serta aktiviti jangkauan komuniti.

Katanya, golongan belia dan warga universiti merupakan antara kumpulan penting yang boleh memainkan peranan menyebarkan kesedaran mengenai amalan penjagaan kesihatan pergigian dalam masyarakat.