SUBANG JAYA - Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat menyumbang baucar barangan kelengkapan sekolah bernilai keseluruhan RM147,000 bagi membantu 1,470 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang bakal memulakan sesi persekolahan tahun 2026.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi Bank Rakyat untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat merentasi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Menurutnya, ia merupakan manifestasi komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkasa komuniti dan mendukung agenda pembangunan sosial yang mampan, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Sumbangan ini selari dengan nilai kesejahteraan dalam konsep Malaysia Madani yang mementingkan pendidikan untuk melahirkan individu yang bertanggungjawab serta mampu menyumbang semula kepada pertumbuhan sosioekonomi negara.
“Bank Rakyat pada setiap tahun komited melaksanakan inisiatif bantuan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi meringankan beban keluarga dan memperluas peluang akademik, sekali gus memberi manfaat kepada individu, masyarakat serta negara.
“Kami berharap agar sumbangan yang disalurkan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak seterusnya meringankan beban ibu bapa dan keluarga dalam menghadapi kekangan kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti Madani: Kembali ke Sekolah 2026 yang diadakan di Mydin Subang Jaya.
Sejak tahun 2022 hingga tahun ini, Bank Rakyat yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sumbangan Back to School bernilai lebih RM1.3 juta secara keseluruhan kepada lebih 12,000 orang pelajar yang memerlukan daripada pelbagai bangsa dan agama di seluruh negara.
Menerusi kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), pelajar sekolah kebangsaan dan menengah yang terpilih daripada 14 sekolah di seluruh negara berpeluang untuk mendapatkan barangan kelengkapan sekolah di pasar raya berkenaan.
Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuk Sekolah Kebangsaan La Salle 1 Jinjang Kuala Lumpur, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pay Yap, Melaka, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Port Dickson, Negeri Sembilan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Kimanis, Papar, Sabah.
Tambah Nizam, sekolah yang terpilih itu turut merangkumi Sekolah Angkat Madani iaitu inisiatif strategik kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
"Melangkah ke hadapan, pelbagai inisiatif jangkauan komuniti sedang direncanakan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Pelbagai inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Bank Rakyat bukan sekadar sebagai institusi kewangan yang mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi juga sebagai pemain utama dalam membantu membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda,” ujarnya.