Had tempoh jawatan MB perlu pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri

Iklan
Saarani (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn Bhd di Wisma A-Asign, Basco Avenue @ Kepayang di Ipoh pada Khamis.

IPOH – Penetapan had tempoh jawatan Menteri Besar Perak hanya boleh dilaksanakan melalui pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara tersebut tidak boleh terus dilaksanakan kerana ia menyentuh aspek perundangan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara tersebut juga memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dilaksanakan.

"Ia akan melibatkan Undang-Undang Tubuh Negeri. Ya, ia (cadangan had tempoh jawatan MB) perlu dilihat (dengan teliti).

Iklan

"Jadi kalau ada perkara itu nak dibuat maka kena ada pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri. Kita perlu terlebih dahulu mengadap Sultan Perak," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn Bhd di Wisma A-Asign, Basco Avenue @ Kepayang, di sini pada Khamis.

Iklan

Saarani berkata demikian sebagai mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dan sama ada wajar atau sesuai dilaksanakan di peringkat negeri khususnya bagi jawatan Menteri Besar.

Menurut beliau, cadangan tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri serta masih baharu dalam konteks Malaysia.

"Ia ada pro dan kontra. Pro sebab ramai bakat yang nak jadi PM. Jadi sukalah kalau jawatan PM ini dipendekkan tempoh perkhidmatan supaya ada pengganti.

"Tapi ada setengah-setengah tempat, PM itu seorang yang hebat, barangkali ada idea yang dia perlu lihat jangka masa panjang maka barangkali tak cukup 10 tahun," katanya.

Jelas Saarani, sekiranya pelaksanaan had tempoh tersebut dibuat dibimbangi misi dan dasar yang dirancang tidak dapat disempurnakan, terutamanya jika sukar mencari pemimpin pengganti yang setara.

Pada 5 Januari, media melaporkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Menurut Anwar, RUU itu merupakan satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.