IPOH - Individu yang masih berdegil dan melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung larangan ahli politik menyampaikan ucapan atau ceramah di masjid dan surau perlu bersedia berdepan tindakan susulan terhadap kesalahan tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peringatan berhubung perkara itu telah diberikan berulang kali kepada semua pihak, khususnya wakil rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang.
Justeru katanya, prinsip pematuhan terhadap titah tersebut perlu dihormati tanpa pengecualian demi menjaga kesucian institusi masjid serta keharmonian masyarakat.
“Tuanku telah bertitah bahawa orang politik tidak dibenarkan untuk berucap di dalam surau ataupun masjid.
“Kalau masih lagi ada orang yang ingin melanggar titah Tuanku ini, mereka perlu bersedia untuk menerima tindakan susulan berikutan kesalahan itu,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak Tahun 2026 di Pejabat Menteri Besar di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Facebook yang mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berucap di sebuah masjid di Bota, Parit baru-baru ini.
Saarani yang juga Exco Agama Islam negeri berkata, dari segi pentadbiran, tanggungjawab membenarkan seseorang individu berucap di masjid terletak di bawah Pengerusi dan Jawatankuasa Masjid.
“Kalau difikirkan perlu untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin berkenaan, kita perlu mengkaji perkara itu terlebih dahulu.
“Perlu ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang dengan sengaja melanggar titah Tuanku,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi satu pekeliling bertarikh 26 Oktober 2022 melarang sebarang aktiviti berbaur politik di masjid, Surau Diri Jumaat dan surau di negeri ini susulan titah Sultan Nazrin ketika Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Peringkat Negeri Perak pada 24 Oktober 2019.
Menurut pekeliling tersebut, larangan berkenaan bertujuan menjaga kemuliaan masjid, Surau Diri Jumaat dan surau daripada sebarang unsur kepentingan politik.