Kerajaan Melaka stabil, tiada keperluan desak Akmal letak jawatan Exco - Abdul Hakim

Iklan
Abdul Hakim berkata pentadbiran kerajaan negeri ketika ini kekal fokus terhadap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

MELAKA – Kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada dalam keadaan stabil dan berfungsi dengan baik, tanpa sebarang keperluan mendesak agar mana-mana Exco, khususnya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk meletakkan jawatan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, berkata pentadbiran kerajaan negeri ketika ini kekal fokus terhadap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang desakan atau cabaran supaya mana-mana Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meletakkan jawatan adalah tidak wajar, terutamanya ketika kerajaan negeri sedang melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Kerajaan negeri turut berpandangan bahawa segala spekulasi atau tekanan politik yang tidak berasas hanya akan mengganggu fokus pentadbiran serta tidak memberi manfaat kepada rakyat mahupun kestabilan negeri.

Iklan

“Dalam hal ini, pihak atau parti politik juga disarankan agar tidak membuat sebarang desakan supaya Dr Akmal melepaskan jawatan sebagai ADUN dan Exco Melaka, memandangkan beliau terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri kekal komited untuk mentadbir secara berhemah, berfokus kepada prestasi dan berlandaskan kepentingan rakyat, serta tidak akan terpengaruh dengan polemik politik yang bersifat spekulatif.

Iklan

Pada Sabtu lalu, Dr Akmal telah membawakan dua usul dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, iaitu agar parti kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, serta berperanan sebagai pembangkang.

Susulan itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Dr Akmal agar segera meletakkan jawatan sebagai Exco dan melaksanakan pendiriannya itu.

DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan menyifatkan gimik ‘keluar kerajaan’ yang dimainkan oleh Muhamad Akmal sejak beberapa hari lalu sebagai sekadar bahan lawak politik, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan pendirian parti untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, hantaran terbaharu Dr Akmal di media sosial turut mencetuskan tanda tanya apabila beliau menyatakan bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.