Semua calon Pilihan Raya Bersih 2026 menang tanpa bertanding, Faisal kekal pengerusi

Iklan
Pilihan Raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

SHAH ALAM - Kesemua sembilan individu termasuk penyandang pengerusi, Muhammad Faisal Abdul Aziz yang dicalonkan bagi Pilihan Raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diumumkan menang tanpa bertanding selepas tempoh penamaan calon ditutup pada Sabtu.

Jawatankuasa Pilihan Raya Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima sembilan pencalonan bagi mengisi sembilan jawatan dalam Jawatankuasa Pemandu Bersih bagi sesi 2026–2028.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pencalonan diterima daripada beberapa pertubuhan masyarakat sivil termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gerakan Anak Muda Tuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR), PACOS Trust dan Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA).

Selain itu, pencalonan turut diterima daripada Civil Rights Committee KL-Selangor Assembly Hall (KLSCAH), Rise of Social Efforts (ROSE) dan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN).

Iklan

“Disebabkan hanya sembilan nama yang dicalonkan dan setiap nama yang dicalonkan adalah untuk setiap jawatankuasa yang dipertandingkan.

“Maka, semua calon-calon menang tanpa bertanding dan akan menjadi ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih bagi sesi 2026-2028.

Iklan

“Jawatankuasa Pilihan Raya Bersih mengucapkan terima kasih kepada semua Endorsing NGO yang telah menghantar borang penamaan calon,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa Pilihan Raya Bersih turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli jawatankuasa sesi sebelum ini.

“Pada kesempatan ini, kami juga ingin memberi ucapan penghargaan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2023-2025 yang telah menggerakkan Bersih bagi tempoh tersebut.

“Semoga gerakan ini terus subur memperjuangkan agenda demokrasi dan reformasi,” katanya.

Berikut senarai Jawatankuasa Pemandu Bersih bagi sesi 2026-2028:

Pengerusi: Muhammad Faisal Abdul Aziz

Timbalan Pengerusi: Lee See Kiang (Kelvin)

Naib Pengerusi (Sabah): Muhammad Fadhil Muhammad Kassim

Naib Pengerusi (Sarawak): Ann Teo Chiang Joo

Naib Pengerusi (Semenanjung): Azmil Mohamad Tayeb

Bendahari: Alexzander Bernard Johnson

Ahli-ahli Jawatankuasa: Wong Siew Yun, ‘Alyaah Hani Anuar, Siti Hawa dan Abd Wahid