'Saya tak kisah musuh nombor 1 atau 10' - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan kenyataan Hamzah yang kini menganggapnya sebagai musuh utama.

NILAI - [KEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau langsung tidak terkesan dengan kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang kini menganggapnya sebagai musuh utama.

Beliau berkata bekas Timbalan Presiden Bersatu itu ternyata telah melanggar perlembagaan parti.

Iklan
Iklan

"Saya tak kisah kalau dia kata saya musuh nombor satu atau nombor 10 kerana dulu dia pernah kata penyokong nombor satu saya.

"Bagi saya, dia telah melakukan kesalahan besar. Bukan saja melanggar perlembagaan parti, malah membuat pelbagai tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti, bukan sahaja menyentuh peribadi saya dan atas sebab itu, Lembaga Disiplin mengambil keputusan untuk menyingkirnya," katanya ketika ditemu selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Hamzah sebelum ini yang secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satu Muhyiddin.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, dalam Islam semua adalah bersaudara, namun berbeza dalam politik.

Iklan

Malah, beliau juga tidak berharap apa-apa lagi terhadap Hamzah kerana sudah dipecat daripada Bersatu.

"Saya tak kisahlah walaupun dalam Islam kita ini semua bersaudara, tapi dalam politik kadang-kadang orang tak sokong itu soal dialah," katanya.

Selain itu, ketika ditanya kemungkinan akan ada lagi senarai pemimpin parti yang akan dipecat, beliau berkata tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu kerana ia di bawah urusan Lembaga Disiplin parti.

"Saya tak tahu kerana urusan itu di bawah Lembaga Disiplin yang mana peraturannya jika ada ahli didapati melanggar perlembagaan atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya, maka boleh melaporkan kepada Lembaga Disiplin.

"Itu adalah prosedurnya. Lembaga Disiplin apabila menerima laporan akan mengkajinya terlebih dahulu sebelum memanggil individu terbabit atau terus menjatuhkan hukuman," katanya.