Pas belum maklum calon Ketua Pembangkang baharu- Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

NILAI – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan yang beliau masih belum menerima sebarang makluman daripada Pas berhubung calon Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau juga tidak pasti sekiranya Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang akan dipilih.

Iklan
Iklan

“Saya belum mendapat maklumat terkini mengenainya.Saya tunggu daripada pimpinan Pas sama ada sudah ada keputusan atau belum.

“Mengikut peraturan, keputusan itu perlu dimaklumkan secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat. Kita tunggulah mungkin sehari dua ini atau minggu depan, saya pun tidak pasti," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas kemungkinan Takiyuddin yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Timbalan PN itu berkata, Speaker juga perlu mengumumkan di Dewan Rakyat sebaik saja menerima nama Ketua Pembangkang yang baharu.

Iklan

Jelasnya, apa yang pasti, Bersatu telah pun memberikan hak memegang jawatan terbabit kepada Pas memandangkan parti itu mempunyai jumlah bilangan ahli Parlimen yang paling ramai.

"Kalau ikut kehendak parti, kita dah buat keputusan. Tapi nama tu belum ada dan kita bagi hak itu kepada Pas kerana parti itu mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen paling ramai, jadi wajarlah Pas mengambil alih tempat itu.

Tambahnya, beliau turut membangkitkan perkata itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional(PN) baru-baru ini termasuk kedudukan Hamzah di Dewan Rakyat.

"Hamzah tidak lagi menjadi ahli Bersatu, dia juga bukan ahli PN, maka tak sewajarnya dikekalkan beliau di situ.

"Jadi, mesyuarat itu bersetuju supaya Pas menamakan sesiapa di kalangan ahli Parlimen mereka yang dianggap sesuai untuk mengambil tempat itu secepat mungkin. Itu telah diputuskan," katanya.

Pada 13 Februari lalu Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Hamzah.

Menurut notis yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.