Penduduk bimbang kampung lenyap ditelan laut

Iklan
Jarak pantai yang semakin dekat dengan kediaman penduduk akibat hakisan teruk di Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH - Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang belum berakhir amat menggusarkan penduduk beberapa kampung di sini.

Pantai Bisikan Bayu, Kampung Dalam Rhu dan Pantai Pachakan di sini berdepan ancaman hakisan teruk sejak lima tahun lalu sehingga berkemungkinan lenyap daripada peta Kelantan jika tiada tindakan segera diambil.

Iklan
Iklan

Keadaan semakin membimbangkan apabila jarak pantai dengan daratan kini tinggal kurang 10 meter, ditambah pula dengan fenomena air pasang besar yang berlaku setiap kali MTL mempercepatkan lagi hakisan.

Kesan hakisan bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada aktiviti ekonomi seperti pengusahaan keropok, inap desa, chalet dan gerai jualan makanan di kawasan pesisir.

Iklan

Ezza Ezaty di hadapan rumahnya yang kini hanya berjarak kurang 50 meter dari pantai di Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh.

Penduduk Kampung Dalam Rhu, Ezza Ezaty Rofi, 32, berkata, rumahnya yang dahulu terletak lebih 500 meter dari pantai kini hanya berjarak kurang 50 meter.

Iklan

“Apabila tiba musim air pasang dan ombak besar, saya, suami serta tiga anak sukar untuk tidur malam kerana bimbang rumah kami dihanyutkan ombak.

“Pada Disember lalu, air melimpah sehingga ke depan rumah, malah mencecah jalan utama. Baru-baru ini rumah kami nyaris roboh selepas ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat hakisan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Pantai Pachakan, Shamsul Shafei, 39, menyifatkan hakisan yang berlaku pada musim MTL kali ini sebagai yang paling buruk dalam tempoh 30 tahun.

Penduduk di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh, Shamsul menunjukkan hakisan yang berlaku tahun ini adalah paling teruk berlaku dalam tempoh 30 tahun.

Menurutnya, beberapa rumah dan kedai pemprosesan keropok telah ditelan laut, dan kini hanya sekitar lima buah yang masih bertahan.

“Kami risau jika tiada tindakan segera diambil, Pantai Pachakan dan Bisikan Bayu mungkin hanya tinggal nama, selebihnya hilang akibat dibadai laut.

“Hakisan ini sudah berlarutan hampir lima tahun. Kami tidak mahu pantai ini menerima nasib seperti Pantai Sabak di Kota Bharu,” katanya.

Ujarnya lagi, semasa dia di usia remaja, jarak pantai ke penempatan penduduk melebihi satu kilometer, namun kini hanya beberapa meter sahaja.

Seorang peniaga di Pantai Bisikan Bayu, Kamran Awang Noh, 56, pula berkata, gerai jualan jagung dan satar miliknya kini hanya menunggu masa untuk tumbang akibat hakisan.

Menurutnya, jarak pantai dari gerainya kini kurang 10 meter berbanding lebih 100 meter sebelum ini.

“Disember lalu, kejadian air pasang paling teruk berlaku. Kalau dahulu musim tengkujuh tidak begitu terkesan, tapi sekarang sejak awal lagi ombak besar sudah menghentam.

“Kami bimbang jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil gerai saya akan hilang dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk di Pantai Bisikan Bayu, Kampung Dalam Rhu dan Pachakan di Semerak di sini mahu pihak yang terlibat membina segera benteng pemecah ombak bagi mengelak hakisan pantai daripada terus berlaku.

Kemudahan taman permainan turut rosak teruk dan 'ditelan' laut akibat hakisan di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh.

Peniaga keropok, Mat Hassan Mat Ali, 64, berkata, melihat kepada situasi sekarang tidak mustahil jika kedai pemprosesan keropok miliknya yang telah diusahakan sejak lima tahun lalu akan lenyap di badai ombak.

“Kami berharap benteng pemecah ombak sejauh satu kilometer dapat dibina bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan dan kerugian berlaku.

“Hakisan yang berlaku sekarang telah melenyapkan tempat jemuran keropok dan ikan, menyebabkan kami terpaksa pindahkan ke lokasi lain,” katanya.

Penduduk di Pantai Bisikan Bayu, Muhammad Luqman Mohd Noor, 31, pula berkata, rumah yang didudukinya hampir sedekad itu telah runtuh pada November lalu akibat air pasang besar.

“Masalah hakisan ini sudah lama berlaku dan ia semakin teruk. Jika dilihat sekarang ini hanya pembinaan benteng pemecah ombak sepertimana di kawasan Bachok boleh menyelamatkan keadaan di sini.

“Sekurang-kurangnya ia dapat memperlahankan hakisan daripada berlaku. Bukannya seperti sekarang sehingga menjejaskan kecantikan pantai dan kediaman penduduk,” katanya.

Penduduk setempat berharap pihak berkuasa dapat segera melaksanakan projek pencegahan hakisan pantai bagi menyelamatkan kawasan berkenaan daripada terus terhapus.