Durian mampu jadi tarikan pelancong antarabangsa

Iklan
Industri durian boleh dibesarkan dan dikomersialkan dengan lebih serius.

IPOH – Industri durian berpotensi besar dijadikan antara tarikan utama pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) memandangkan raja buah itu mempunyai peminat tersendiri di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, ia juga menjadi serampang dua mata bagi membantu menangani isu lambakan hasil dan menstabilkan pendapatan pekebun tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini berlaku lambakan durian yang berpunca daripada pengeluaran buah yang serentak di beberapa daerah dan negeri selain musim berbuah yang kelihatan berterusan.

"Kita tidak boleh bergantung kepada jualan buah segar semata-mata. Industri hiliran dan idea promosi baharu perlu diperkasakan supaya durian bukan sahaja habis dijual, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat.

Iklan

"Penganjuran Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 yang kami anjurkan dari Oktober hingga November tahun lalu membuktikan buah ini mampu menarik pelancong antarabangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Nordin, festival berkenaan berjaya menarik antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung dari luar Perak seperti Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan termasuk pelancong dari Selatan Thailand sekali gus melonjakkan permintaan durian di kawasan berkenaan.

Iklan

Tambahnya, penggunaan media sosial serta sokongan media turut memainkan peranan penting dalam menarik kehadiran pengunjung, termasuk diplomat dan pelancong luar negara.

"Ini satu isyarat jelas bahawa industri durian boleh dibesarkan dan dikomersialkan dengan lebih serius.

"Ia seharusnya menjadi ‘wake up call’ kepada semua pihak, termasuk kerajaan, pengusaha dan persatuan komuniti untuk bekerjasama,” katanya.

Nordin berkata, Kampung Gajah dan daerah Perak Tengah sudah mempunyai jenama tersendiri sebagai pengeluar durian kampung organik, justeru penganjuran acara berskala besar tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang sukar.

Namun, beliau melahirkan rasa kesal apabila masih wujud kekangan kerjasama daripada sesetengah agensi di peringkat daerah ketika festival berkenaan dianjurkan.

"Sepatutnya semua pihak memberi sokongan kerana durian adalah industri lama yang menyumbang kepada ekonomi negeri.

"Tanpa kerjasama, potensi besar ini akan tenggelam dan gagal memberi pendapatan lumayan kepada masyarakat tempatan," katanya.

Nordin berkata, durian boleh dijadikan salah satu tarikan pelancongan penting sempena VMY2026 khususnya di daerah Perak Tengah, namun ia perlu digabungkan dengan produk pelancongan lain yang bersifat mampan seperti pelancongan warisan, pendidikan, makanan dan agro.

Menurutnya, Perak Tengah memiliki banyak aset pelancongan termasuk Kompleks Sejarah Pasir Salak, pusat kraf dan produk warisan Melayu yang wajar dibaik pulih serta dipakejkan semula.