SHAH ALAM – Isu kos sara hidup terus menjadi tekanan buat rakyat apabila 42 peratus responden menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan perbelanjaan harian, meskipun tahap kepuasan terhadap prestasi kerajaan dan Perdana Menteri menunjukkan sedikit peningkatan.
Dapatan itu berdasarkan Tinjauan Persepsi Prestasi Pentadbiran, Dasar Negara dan Kepimpinan Politik yang dijalankan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) melibatkan 1,604 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia antara 15 November hingga 19 Disember 2025.
Kajian berkenaan mendapati tahap kepuasan rakyat terhadap prestasi kerajaan meningkat daripada 41 peratus pada Jun 2025 kepada 49 peratus pada Disember 2025, manakala prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meningkat daripada 33 peratus kepada 46 peratus dalam tempoh sama.
Walau bagaimanapun, peningkatan itu masih belum mampu meredakan keresahan rakyat terhadap tekanan kos sara hidup yang dilihat terus menjejaskan pendapatan dan kuasa beli isi rumah.
"Dapatan tersebut turut mendedahkan hanya 39 peratus responden berpuas hati dengan usaha kerajaan Persekutuan menangani masalah utama rakyat termasuk kos sara hidup, manakala persepsi terhadap ekonomi negara turut berbelah bahagi.
"Walaupun 50 peratus responden menyatakan berpuas hati dengan prestasi ekonomi negara, hanya 41 peratus berpuas hati dengan pendapatan peribadi mereka," menurut laporan itu pada Selasa.
Dari sudut dasar, majoriti responden menyokong langkah rasionalisasi subsidi RON95 apabila 63 peratus bersetuju dengan dasar tersebut dan 55 peratus berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya.
Institut MASA turut mendapati, sentimen positif itu berkemungkinan dipengaruhi inisiatif Budi Madani yang menyediakan 300 liter petrol RON95 bersubsidi secara bulanan kepada pengguna layak, sekali gus membantu menampan kesan kenaikan kos sara hidup susulan penyasaran subsidi.
Bagaimanapun, kajian sama menunjukkan rakyat masih terkesan dengan langkah fiskal lain apabila 75 peratus responden tidak berpuas hati dengan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), manakala 54 peratus tidak berpuas hati dengan kadar tarif elektrik baharu.
Selain kos sara hidup, isu lain yang turut membimbangkan rakyat ialah rasuah dengan 12 peratus, diikuti pembangunan ekonomi dan kestabilan politik masing-masing sembilan peratus.
Bagi calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya umum ke16 (PRU16) dalam kalangan ketua-ketua parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului apabila 46 peratus respondan menyatakan bersetuju diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim (39 peratus) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (16 peratus).