Prestasi PM lebih utama berbanding tempoh jawatan - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal mempunyai pro dan kontra, namun isu utama bukan terletak pada tempoh masa tetapi prestasi kepimpinan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya seseorang Perdana Menteri (PM) itu menunjukkan prestasi yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara, ia tidak menjadi masalah biarpun memegang jawatan tersebut sehingga 10 penggal.

Iklan
Iklan

“Kalau prestasi PM bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah. Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, had penggal boleh merugikan negara sekiranya seorang pemimpin yang dilantik pada usia muda, misalnya 40 tahun, terbukti cemerlang tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan perundangan tersebut.

“Kalau ada pemimpin muda dilantik sebagai PM pada umur 40 tahun dan prestasi bagus untuk rakyat dan negara, kita pula yang rugi bila dihadkan sebab dia tak boleh dilantik semula,” katanya.

Iklan

Tambah beliau, Anwar yang kini berusia 79 tahun mungkin sesuai dihadkan kepada dua penggal kerana jika dilantik bagi penggal berikutnya, usia beliau akan mencecah sekitar 85 atau 86 tahun pada penghujung tempoh tersebut.

“Anwar umur 79 tahun sekarang, sesuai hadkan kepada dua penggal sebab kalau jadi PM kali kedua, umur cecah 86 pada hujung penggal. Isunya di sini, bukan pada tempoh masa tetapi prestasi," katanya.

Anwar ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya memaklumkan, RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

RUU itu merupakan antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.

Ia melibatkan semua jawatan utama termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga tidak boleh melebihi 10 tahun dan turut terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri.

Anwar berkata, sekiranya seseorang diberikan tempoh tertentu dan berjaya melaksanakan tanggungjawab, selepas itu adalah wajar menyerahkan kepada generasi seterusnya.