Ikhtiar KPDN 2025 perkasa pasaran domestik dan kesejahteraan pengguna

Iklan
Seruan Jom Beli Lokal! melalui Kempen Beli Barangan Malaysia mendapat sambutan luar biasa serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kualiti dan kepelbagaian keluaran usahawan tempatan yang juga mampu bersaing di peringkat global

Tahun 2025 adalah tahun yang agak mencabar bagi pengguna dan peniaga. Tekanan inflasi global, gangguan rantaian bekalan akibat perubahan cuaca serta lonjakan permintaan bermusim menjadikan isu harga dan kos sara hidup sentiasa berada di barisan hadapan perbualan rakyat.

Dalam landskap yang mencabar inilah ikhtiar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memainkan peranan penting sebagai pengimbang antara kepentingan pengguna, kelangsungan perniagaan dan kestabilan ekonomi domestik.

Iklan
Iklan

Dari kaca mata editor, kekuatan utama KPDN sepanjang 2025 terletak pada keupayaannya menyelaras pelbagai ikhtiar melalui pendekatan  daripada penguatkuasaan tegas, pemerkasaan ekonomi tempatan, advokasi pengguna hingga pengurusan kos sara hidup, dalam satu hala tuju yang jelas dan bersifat menyeluruh.

Aspek penguatkuasaan kekal sebagai tulang belakang kepada usaha memastikan pasaran berfungsi secara adil dan beretika. Melalui inisiatif KITA GEMPUR, KPDN mempergiatkan pelaksanaan Ops TIRIS bagi membanteras ketirisan subsidi, Ops KESAN untuk mengekang pencatutan harga dan Ops GASAK dalam usaha menyasarkan aktiviti decanting serta penyalahgunaan barang kawalan.

Iklan

Sepanjang tahun, operasi penguatkuasaan tidak tertumpu di satu lokasi atau satu jenis kes sahaja. Di Selangor, Ops GASAK mendedahkan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang melibatkan ratusan tong gas bagi keperluan industri.

Ketangkasan penguatkuasaan terbukti apabila berjaya mencatat nilai rampasan mencecah RM 96,946,325.46 sepanjang tahun 2025.

Iklan

Di Sarawak pula, penguatkuasaan diperkukuh di pintu sempadan ICQS Tebedu menerusi Ops TIRIS 3.0 bagi mengekang penyelewengan barang kawalan rentas sempadan, sekali gus memastikan bekalan dalam negara tidak terjejas.

Dari sudut skala, beberapa negeri merekodkan antara nilai rampasan tertinggi sepanjang 2025. KPDN Kelantan, misalnya, mencatat rampasan hampir RM4.7 juta hasil pelbagai operasi penguatkuasaan, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan lebih 500 kes dengan nilai rampasan sekitar RM4.6 juta.

Gabungan tindakan ini, termasuk kejayaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menumpaskan aktiviti kartel bidaan, menghantar isyarat jelas bahawa penguatkuasaan bukan sekadar reaktif, tetapi berterusan dan bersasar.

Pada masa sama, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) merangkumi Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas serta Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak membantu memastikan lonjakan permintaan tidak diterjemahkan kepada manipulasi harga, sekali gus melindungi pengguna daripada tekanan kos bermusim.

Di sebalik penguatkuasaan, KPDN turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi domestik. Kempen Beli Barangan Malaysia menerusi penggunaan Logo Produk dan Buatan Malaysia serta slogan Jom Beli Lokal bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi usaha strategik memperluas pasaran produk tempatan dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keluaran usahawan tempatan negara.

Pemerkasaan harta intelek melalui MyIPO menangani isu ciplak dan barangan tiruan yang boleh menjejaskan reputasi serta kelangsungan usahawan tempatan, khususnya dalam ekonomi digital. Pada masa sama, kesedaran pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus dipertingkat bagi memastikan ketelusan dan keyakinan orang ramai terhadap sektor perniagaan.

Inisiatif pendigitalan sektor peruncitan (REDI), khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mencerminkan kesungguhan KPDN merapatkan jurang digital, manakala kedudukan Malaysia sebagai negara kelima terbesar industri jualan langsung dunia membuktikan daya saing ekosistem perdagangan tempatan.

Penganjuran Karnival KPDN 2025 pula menjadi platform whole of ministry dan whole of nation, membawa perkhidmatan terus ke peringkat akar umbi melalui penglibatan agensi, pemain industri dan pengguna.

Tahun 2025 turut menyaksikan perubahan ketara dalam landskap kepenggunaan. Pengguna hari ini bukan sekadar power viral, tetapi semakin berdaya dari segi pengetahuan dan saluran aduan rasmi. Kadar penyelesaian aduan yang mencecah 95 peratus mencerminkan kecekapan sistem dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan KPDN menyelesaikan aduan awam.

Aplikasi Price Catcher membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih bijak, manakala Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan aplikasi ezTTPM memudahkan proses tuntutan ganti rugi, termasuk dalam urus niaga dalam talian.

Pindaan Akta Sewa Beli dengan pengenalan kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki yang lebih telus pula memperkukuh perlindungan pengguna tanpa menjejaskan kelangsungan industri.

Dalam isu kos sara hidup, peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menjadi semakin signifikan melalui pendekatan whole of nation.

Pelbagai inisiatif dilaksana termasuk Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang merekodkan lebih 25 juta transaksi, Portal Ihsan MADANI, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan aplikasi ECOSS bagi memastikan penyasaran subsidi lebih tepat dan berkesan.

Seperti yang kita sedia maklum PJRM merupakan ikhtiar KPDN yang sangat signifikan buat rakyat Malaysia. Ia menyasarkan kepada kumpulan yang memerlukan khususnya kumpulan B40. Sebagai contoh pelaksanaan PJRM Kembali Ke Sekolah amat membantu persiapan anak-anak untuk memulakan persekolahan pada tahun ini.

Pelaksanaan PJRM yang meliputi 222 Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri dan 40 zon di Wilayah Persekutuan memastikan subsidi dapat dinikmati terus oleh golongan sasar khususnya B40.

 Selain itu, Program Penstabilan Harga di luar bandar pula memastikan pengguna di desa menikmati bekalan dan harga yang setara dengan kawasan bandar.

Tidak dinafikan, faktor global seperti inflasi dan perubahan iklim berada di luar kawalan mana-mana kementerian. Namun dari kaca mata editor, pencapaian KPDN sepanjang 2025 memperlihatkan usaha yang konsisten dan tersusun untuk memastikan keseimbangan pasaran terus terpelihara.

Gabungan penguatkuasaan, pemerkasaan ekonomi dan advokasi kepenggunaan mencerminkan komitmen berterusan KPDN sebagai pelindung kepentingan pengguna dan pemacu ekonomi negara. Kita yakin kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keseimbangan pasaran domestik negara terus dipacu dengan lebih baik pada tahun 2026.

INFO

Inisiatif KPDN 2025

1. KITA GEMPUR: Penguatkuasaan bersepadu & pemantauan pasaran

2. Ops TIRIS: Banteras ketirisan subsidi

3. Ops KESAN: Kawal pencatutan & harga tidak munasabah

4. Ops GASAK: Hapus aktiviti decanting barang kawalan

5. SHMMP: Kawalan harga sempena perayaan utama

6. Kempen Beli Barangan Malaysia & Jom Beli Lokal

7. MyIPO: Perlindungan harta intelek & anticiplak

8. REDI: Pendigitalan sektor peruncitan

9. Price Catcher & ezTTPM: Pemerkasaan pengguna

10. NACCOL & PJRM: Bantuan kos sara hidup bersasar