Projek SAMA gesa RUU reformasi dirujuk PSC sebelum dibahas

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai isu RUU had tempoh jawatan PM

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memastikan semua draf rang undang-undang (RUU) berkaitan agenda pembaharuan institusi termasuk melibatkan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sebelum dibahaskan serta diundi di Dewan Rakyat.

Konvenor Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Ngeow Chow Ying berkata, perkara itu perlu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi dahulu.

Iklan
Iklan

"Sebagai alternatif, RUU ini mesti dibentangkan cukup awal untuk ahli Parlimen dan orang ramai mengkaji serta membincangkan sebelum bacaan kedua selain mesti ada peluang yang adil untuk pindaan di peringkat jawatankuasa.

"Kami juga menggesa agar proses pelantikan untuk Pendakwa Raya dibuat secara telus, berasaskan merit dan bebas daripada kawalan eksekutif supaya orang yang diamanahkan dengan peranan kritikal ini bebas daripada pengaruh yang tidak wajar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Beliau berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Iklan

Katanya, kerajaan juga dijangka membentangkan RUU mengenai pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara pada bulan ini selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sedang menyiapkan RUU Ombudsman.

Chow Ying menegaskan, Projek SAMA mengalu-alukan agenda pembaharuan mercu tanda Kerajaan Madani dan janji itu kini mesti diterjemah menerusi pelaksanaan undang-undang yang telus dan melibatkan ramai pihak.

"Projek SAMA mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Madani kerana menyuarakan agenda reformasi yang berani dan komprehensif pada permulaan tahun 2026 yang mengutamakan pengukuhan institusi tadbir urus Malaysia yang mendalam.

"Pembaharuan ini bertindak balas secara langsung kepada seruan awam yang telah lama wujud untuk sistem kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan demokratik," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai had penggal jawatan Perdana Menteri, Chow Ying menegaskan, penetapan had penggal itu akan membantu mengekang penumpuan kuasa yang berlebihan, menggalakkan pembaharuan kepimpinan dan mengukuhkan norma demokrasi dalam sistem Parlimen negara.

"Ini juga akan memenuhi perkara yang tidak dipenuhi ini dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik 2021 antara kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan apatah lagi kebanyakan parti kini berada dalam Kerajaan Madani jadi ia boleh meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap parti politik," tambahnya.

Beliau berkata, Projek SAMA juga berpuas hati kerana kerajaan telah mengesahkan komitmennya untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan akan membentangkan RUU tersebut terlebih dahulu apabila Parlimen bersidang pada 19 Januari ini.

"Mengasingkan fungsi pendakwaan daripada peranan Peguam Negara adalah satu pembaharuan asas untuk melindungi kepentingan dalam konflik semasa dan menghapuskan kepentingan pihak pendakwaan.

"Pemisahan ini menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa dan memastikan keputusan untuk mendakwa dibuat bebas daripada pengaruh eksekutif," jelasnya.

Menurutnya, Projek SAMA turut menyambut baik hasrat kerajaan untuk membentangkan RUU Ombudsman demi memperluaskan kuasa pengawasan bebas ke atas pentadbiran awam dan RUU Kebebasan Maklumat (FOI) untuk menggalakkan ketelusan serta membuka akses awam kepada maklumat dengan perlindungan yang sesuai untuk keselamatan negara.

Ujar beliau, empat cadangan perundangan tersebut diyakini mampu membentuk pakej bermakna pembaharuan institusi yang jika dirumuskan dengan kukuh, secara asasnya boleh mengukuhkan semak dan imbang dalam sistem tadbir urus Malaysia.