LKAN: RM183.11 juta baki geran penyelidikan tidak dipulangkan

Iklan
Perincian dalam LKAN 1/2026 mengenai baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan di empat kementerian berjumlah RM183.11 juta.

 

SHAH ALAM - Baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan di empat kementerian berjumlah RM183.11 juta melibatkan 7,904 projek setakat 30 Jun tahun lalu menunjukkan kelemahan dalam pengurusan kawalan kewangan, pemantauan projek dan tatacara penutupan projek.

Iklan
Iklan

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkata, keadaan itu menunjukkan dana penyelidikan tidak digunakan secara cekap untuk memberi impak yang ditetapkan.

Ia membabitkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Iklan

Di bawah KPT, ia melibatkan lima universiti penyelidikan (RU) iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

UKM merekodkan baki peruntukan sebanyak RM31.65 juta, UTM (RM23.19 juta), USM (RM21.48 juta), UPM (RM21.07 juta) dan UM (RM13.28 juta) yang keseluruhannya RM110.67 juta.

Iklan

MITI mencatatkan baki geran penyelidikan di bawah agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak RM33.97 juta dan MIDF (RM21.67 juta) yang kedua-duanya berjumlah RM55.64 juta.

MOSTI dan KPKM pula masing-masing merekodkan jumlah baki geran sebanyak RM14.33 juta dan RM183.11 juta.

LKAN menjelaskan, baki geran penyelidikan di lima RU dan enam agensi pelaksana tidak dipulangkan kepada kementerian masing-masing merupakan projek siap atau ditamatkan.

“Baki tertinggi yang tidak dipulangkan adalah KPT melibatkan lima RU berjumlah RM110.67 juta bagi 7,823 projek.

“Analisis audit mendapati sejumlah RM9.72 juta atau 5.3 peratus merupakan baki yang melebihi tempoh 10 tahun manakala sejumlah RM89.82 juta atau 49 peratus adalah baki bagi tempoh antara lima hingga sembilan tahun,” ujarnya.

Katanya, baki geran penyelidikan yang tidak dipantau oleh kementerian berisiko digunakan untuk tujuan selain dari kelulusan asal.