PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua parti politik berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan RUU itu dijangka dibentang pada sesi Parlimen kali ini.
"Saya kena berhadapan dengan semua ketua parti supaya kami dapat lebih daripada dua pertiga (majoriti).
"(Perdana Menteri) baru sebut tadi (berkenaan RUU ini), insya-ALLAH saya akan buat (perjumpaan) dalam masa terdekat," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini pada Ahad.
Azalina berkata, RUU itu tidak membabitkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar, sebaliknya undang-undang itu hanya akan terpakai kepada Perdana Menteri.
"Bagi saya ini sesuatu yang memang rata-rata saya melihat ini sangat penting tapi memang tak terlibat kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar. Hanya kepada Perdana Menteri dalam negara kita.
"Pada saya itu memang sesuatu yang kami pun di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Reformasi Institusi banyak kajian telah dilakukan," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.
Pada Mac tahun lepas, Anwar semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengarahkan agar cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam.
Selain itu, tiga lagi RUU yang akan dibentangkan pada tahun ini ialah pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat (FOI).
Sementara itu Azalina berkata, empat RUU berkenaan akan dibentangkan pada Februari ini iaitu selepas perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong selesai.
"Mengenai RUU penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat, perkara ni saya lihat boleh kami lakukan pada sesi Parlimen ini kerana ia adalah antara undang-undang yang sangat-sangat penting bagi rakyat.
"Bukan sahaja rakyat mendapat akses dan maklumat di bawah kebebasan maklumat tetapi ia bergerak seiring dan sejalan dengan RUU Ombudsman, dan gabungan ini dapat membantu membanteras rasuah, menambah baik kualiti perkhidmatan awam, melindungi rakyat serta memperkukuhkan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita," katanya.
Azalina berkata, FOI dan Ombudsman itu sangat penting kerana ia adalah undang-undang yang banyak fokus kepada tuntutan rakyat.
"Bererti bahawa FOI dengan Ombudsman ini dalam banyak negara maju dilihat satu daripada semak dan imbang yang boleh berlaku bagi setiap negara," katanya.
Azalina dalam pada itu berkata, BHEUU dan Reformasi Institusi akan memperbanyakkan pendekatan dialog awam dan konvensyen dalam usaha mendapat maklum balas dan pandangan daripada pelbagai pihak serta memberi kefahaman kepada rakyat berkenaan RUU yang dibentang dan diluluskan. - Bernama