SHAH ALAM - Penganjur Havoc Food Festival menafikan dakwaan kononnya festival makanan semakin kehilangan sambutan akibat vendor mengenakan harga makanan tidak masuk akal.
Penerbit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman berkata, prinsip utama penganjuran festival makanan itu sejak tujuh tahun lalu adalah untuk membantu usahawan menjana pendapatan.
Menurut Firdaus, pihaknya mengambil maklum isu yang menjadi perdebatan ramai ketika ini apabila ramai mendakwa Havoc Food Festival umpama 'pasar malam T20'.
“Alhamdulillah kami ambil maklum isu sensitif yang berlaku dalam perniagaan festival makanan. Kalau dahulu semasa kami mula aktif dalam bisnes ini tujuh tahun lalu, hanya ada beberapa penganjur acara (EO) dan kami boleh dikatakan antara pelopor utama yang menggerakkan industri ini.
"Bagaimanapun, isu terbaharu hari ini apabila ada yang mendakwa festival makanan umpama ‘pasar malam T20’ kerana harganya mahal.
"Jujur memang ada EO mengaku sendiri yang bench mark mereka ialah Havoc Food Festival dan perkara ini agak membimbangkan. Jadi, saya berbincang dengan rakan kongsi untuk sentiasa buat kelainan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2026 bertempat di Setia City Convention Centre di sini baru-baru ini.
Selaku penganjur, Firdaus menjelaskan bahawa banyak kos tersembunyi perlu ditanggung termasuk sewaan tapak, permit dan logistik, terutama apabila festival diadakan secara jelajah ke seluruh negara.
“Kami sebagai EO takkanlah nak dedahkan kos. Boleh dikatakan setiap lima bulan kami selalu jelajah satu Malaysia, kebanyakannya kami ulang tempat sama. Setiap kali kami adakan jelajah, harga tapak dan permit akan naik. Kenaikan pernah mencecah hampir 60 peratus untuk pihak kami bayar.
“Saya boleh katakan untuk dapat kelulusan permit berniaga sahaja kami perlu bayar puluhan ribu. Sebenarnya tiada istilah harga barangan naik sebab EO yang naikkan sewa tapak sedangkan kami sendiri mengawal harga makanan kepada semua usahawan terlibat,” ujar beliau.
Firdaus turut mendedahkan wujud EO yang mengambil kesempatan sehingga menjejaskan kepercayaan usahawan.
Malah, katanya, ada EO baharu yang menyangka dengan menganjurkan acara sebegini mampu menerima pulangan lumayan selepas mengenakan caj tertentu kepada vendor, sedangkan itu salah.
“Hakikatnya banyak lagi kos yang perlu dikeluarkan kalau nak buat acara seperti ini. Satu lagi, orang baru nak masuk ke dalam dunia ini hanya fikirkan duit, tak fikir tentang pulangan jualan vendor yang sudah menaruh kepercayaan kepada mereka.
“Ramai vendor berhutang dengan kami dan angkanya mencecah jutaan ringgit, tapi kami tetap beri peluang untuk mereka berniaga sehingga berjaya," ulas pelakon tersebut.
Dalam masa sama, pihaknya mengakui kecewa dengan tindakan segelintir artis veteran yang sanggup menjual semula tapak niaga.
Ini mendorong penganjur untuk tidak lagi memberikan ruang dan peluang buat golongan tersebut selain mengambil pendekatan berhati-hati dalam memilih selebriti yang betul-betul serius mengubah nasib hidup dengan berniaga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof berpandangan, lambakan festival makanan turut menyumbang kepada isu berbangkit.
Justeru, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat tapisan terlebih dahulu terhadap syarikat pengurusan acara yang benar-benar berkualiti sebelum memberi ruang kepada mereka menjayakan festival makanan.
“Sekarang terlalu ramai penganjur melakukan acara festival makanan. Pihak kami memang tiada kuasa untuk menghalang sesiapa buat karnival, yang boleh membantu supaya tidak wujud lambakan 'food festival' ialah PBT,” kata Faizul lagi.