SETAKAT ini, saya telah berkhidmat dalam kerajaan selama hampir enam tahun — satu perjalanan yang amat bermakna dan sarat dengan pengajaran serta keinsafan.
Tanggungjawab merentasi portfolio kewangan dan perdagangan telah memberi saya sudut pandangan yang berharga tentang penggubalan dasar ekonomi — di mana keperluan mesti sentiasa diimbangi dengan kekangan sumber dan reformasi jangka panjang sering bersaing dengan tekanan jangka pendek.
Ujian yang saya anggap paling mencabar adalah ketika krisis Covid-19 yang menyerlahkan satu pengajaran asas: tiada situasi ideal atau sempurna bagi urus tadbirekonomi. Penggubal dasar sering dikekangi ruang fiskal terhad, realiti sosial dan kejutan luar kawalan. Justeru, sukar untuk mencapai hasil yang sempurna dari apa-apa keputusan yang dibuat kerana ia sentiasa melibatkan kompromi dan penetapan keutamaan serta pelaksanaan sambil perlu terus mengekalkan keyakinan rakyat walaupun berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian. Dari pengurusan krisis,pengajaran utama bagi saya adalah krisis tidak memberi ganjaran kepada retorik, tetapi kepada keupayaan melaksana.
Pada tahun 2025, realiti ini menjadi semakin jelas. Kepengerusian Malaysia-ASEAN berlangsung dalam suasana ketegangan geopolitik yang meningkat, perlindungan perdagangan yang kembali memuncak, serta sistem perdagangan global yang semakin berpecah akibat tarif timbal balas unilateral oleh Amerika Syarikat.
Saya menyaksikan sendiri bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi ASEAN melalui tempoh sukar ini dengan ketegasan dan kejelasan, mengimbangi diplomasi, keutamaan ekonomi dan kesepaduan serantau pada saat multilateralisme turut tertekan. Kepimpinan beliau membantu mempertahankan kerelevanan ASEAN.
Pada masa yang sama, saya juga memimpin tonggak ekonomi ASEAN sepanjang tempoh bergolak ini. Pengenalan tarif timbal balas membawa kesan nyata terhadap aliran perdagangan, keyakinan pelabur dan ekonomi berorientasikan eksport seperti Malaysia. Mengemudi keadaan ini menuntut pragmatisme, penyelarasan serantau dan kesedaran berterusan terhadap implikasi domestik.
Dalam konteks inilah Malaysia bertindak tegas memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas — mengembalikan kepastian kepada perniagaan, memastikan layanan tarif yang lebih baik dan memberikan keyakinan kepada pelabur dalam ekonomi global yang semakin berpecah.
Atas sebab-sebab ini, 2025 muncul sebagai tahun yang amat signifikan bagi ASEAN dan bagi peranan Malaysia sebagai ahlinya. Namun kedudukan strategik semata-mata bukanlah matlamat akhir. Ujian sebenar ialah sejauh mana pencapaian ini mampu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Malaysia.
Kekuatan makroekonomi
Dari sudut makroekonomi, prestasi Malaysia pada tahun 2025 kekal stabil. Pertumbuhan ekonomi dianggarkan berada pada julat teratas 4–5 peratus, inflasi sederhana sekitar 2.5 peratus manakala kadar pengangguran terus terkawal pada kira-kira 3 peratus. Nilai perdagangan negara melepasi RM2.8 trilion, dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik, pembuatan termaju, logistik serta perkhidmatan. Pelaburan yang diluluskan pula mencatat rekod tertinggi – sebanyak RM285.2 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun 2025 — satu pencapaian yang menongkah arus trend global.
Angka-angka ini mencerminkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia serta kedudukan strategik negara dalam ASEAN. Namun, statistik semata-mata tidak menggambarkan keseluruhan realiti.
Bagi ramai rakyat Malaysia, khususnya di kawasan bandar, kestabilan makroekonomi wujud seiring dengan tekanan kehidupan seharian yang semakin mencengkam. Isi rumah berpendapatan sederhana, terutamanya keluarga muda, kini berdepan peningkatan kos perumahan, perbelanjaan penjagaan anak dan beban pengangkutan.
Walaupun kadar inflasi telah reda, harga barangan dan perkhidmatan tidak menurun.
Pertumbuhan gaji pula masih ketinggalan berbanding peningkatan kos sara hidup. Golongan ini bekerja keras, menyumbang kepada pendapatan cukai dan membentuk tulang belakang ekonomi negara. Namun, ramai merasakan walaupun bekerja keras, mereka hanya mampu mengekalkan kedudukan sedia ada, tanpa peningkatan taraf hidup yang setimpal.
Apabila kelas pertengahan rasa terhimpit, perbelanjaan pengguna akan melemah, keusahawanan merosot, dan potensi pertumbuhan jangka panjang negara terhakis. Isu guna tenaga tidak penuh (underemployment), khususnya dalam kalangan graduan, turut mengeruhkan keadaan. Oleh itu, kelas pertengahan yang kukuh bukan sekadar aspirasi sosial, tetapi merupakan asas ekonomi yang kritikal dan satu keperluan.
Atas sebab inilah, dalam peranan saya sebagai Pengerusi MIDA, tumpuan terus diberikan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang menghasilkan limpahan domestik yang nyata. Kelulusan pelaburan sahaja tidak mencukupi. Ia mesti diterjemahkan kepada projek, peluang pekerjaan, pemindahan kemahiran, pengukuhan rantaian bekalan tempatan, dan akhirnya pertumbuhan gaji. Pendek kata, pelaburan perlu memberi kesan langsung kepada ekonomi dan poket rakyat.
Seperti yang dihujahkan oleh ahli ekonomi Dani Rodrik, cabaran sebenar sesebuah negara bukanlah memilih antara pasaran atau kerajaan, tetapi bagaimana menggabungkan kedua-duanya secara pragmatik, selari dengan realiti domestik bagi memastikan sokongan dan penerimaan rakyat. Keterbukaan ekonomi hanya dapat dipertahankan apabila manfaatnya dapat dirasai secara nyata oleh masyarakat.
Bagi Malaysia, ini bermakna integrasi global perlu digerakkan seiring dengan pembinaan keupayaan domestik. Menyokong kelas pertengahan bukan soal subsidi besar-besaran, tetapi soal memperluas peluang — termasuk pengurangan halangan kepada keusahawanan, pemadanan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri, dan pertumbuhan gaji yang menjadi hasil dasar terancang dan dilaksanakan, bukan sesuatu yang diharap berlaku secara automatik.
Reformasi, disiplin dan kepercayaan
Disiplin fiskal kekal menjadi keutamaan. Defisit negara telah berjaya dikurangkan daripada paras semasa pandemik kepada 3.8 peratus daripada KDNK. Namun, tahap ini masih tinggi, menjadikan pengurusan fiskal yang berhemat suatu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Reformasi struktur, termasuk rasionalisasi subsidi, perlu diteruskan.
Namun, reformasi hanya akan berjaya jika dilaksanakan dengan baik. Pelaksanaan yang berkesan, digandingkan dengan komunikasi yang jelas dan terbuka, adalah asas kepada pembinaan kepercayaan politik. Banyak pencapaian boleh direalisasikan apabila prinsip mudah ini dipatuhi oleh mereka yang diberi amanah.
Bagi isi rumah yang merasa tertekan, reformasi mesti dilaksanakan dengan memastikan tekanan jangka pendek diimbangi oleh prospek pendapatan yang lebih baik.
Kepercayaan juga bergantung kepada kekuatan institusi. Keputusan mahkamah mutakhir dalam beberapa kes berprofil tinggi telah mengukuhkan kepercayaan terhadap kebebasan badan kehakiman Malaysia. Walaupun tidak setiap keputusan akan memuaskan hati semua pihak, proses perundangan yang adil dan telus serta kedaulatan undang-undang mesti sentiasa ditegakkan.
Jika tahun 2025 menumpukan kepada memposisikan Malaysia dalam landskap global yang semakin mencabar, maka 2026 mesti menjadi tahun pelaksanaan — menterjemahkan kemasukan modal kepada eksport, kelulusan pelaburan kepada kapasiti produktif, dan pertumbuhan kepada peningkatan pendapatan yang mampan untuk rakyat.
Kerajaan Madani memasuki fasa ini dengan kejelasan hala tuju. Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke‑13 menyediakan asas yang menyeluruh untuk memperkukuh daya tahan isi rumah, meningkatkan daya saing negara dan memastikan pelaburan yang lebih berkualiti. Kini, tumpuan utama ialah pelaksanaan yang berkesan.
Maka, apakah langkah seterusnya? Malaysia memasuki 2026 daripada kedudukan kekuatan relatif: ekonomi yang pelbagai, kestabilan makroekonomi yang bertambah baik, dan kedudukan serantau yang semakin dihormati. Dengan disiplin, konsistensi dasar dan fokus yang jelas, pertumbuhan boleh dikekalkan dan menjadi lebihbermakna.
Dalam masa yang sama, kita harus mengakui bahawa pencapaian mutakhir ini terhasil daripada kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan. Walaupun persaingan politik adalah lumrah, khususnya menjelang pilihan raya negeri, keutamaan Kerajaan Persekutuan mesti kekal pada pelaksanaan — memelihara kesepaduan, menolak gangguan dan memastikan hasil yang nyata untuk rakyat dan PKS.
Akhirnya, pertumbuhan bukanlah matlamat akhir. Pertumbuhan perlu meningkatkan taraf hidup, memperkukuh perniagaan dan memulihkan keyakinan terhadap keberkesanan dasar ekonomi.
Jika Malaysia berjaya menterjemah kestabilan kepada prestasi yang berterusan dan reformasi kepada hasil yang nyata, maka 2026 boleh menjadi titik perubahan yang sebenar: tahun di mana kemajuan diukur bukan sekadar melalui angka, tetapi melalui peningkatan peluang, keselamatan ekonomi dan kemakmuran yang lebih saksama untuk semua rakyat Malaysia.
*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)