KUALA KRAI - Suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar menjadi detik mencemaskan apabila sebuah titi gantung runtuh secara tiba-tiba, menyebabkan lebih 50 tetamu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek di sini pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu telah menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh di atas batu, manakala kanak-kanak cedera di bahagian kepala serta tiga lagi alami luka ringan serta sesak nafas.
Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu pengantin wanita di atas titi gantung berkenaan.
"Saya dimaklumkan semasa kejadian lebih 50 orang menggunakan laluan titi itu dalam masa yang sama.
"Rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh ingin pulang manakala tetamu daripada pengantin wanita pula baru sampai ke kenduri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut panggilan kecemasan telah dibuat dan empat buah ambulans datang ke lokasi.
Ujarnya, dua dari Hospital Sultan Ismail Petra manakala selebihnya daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai.
Mohd Zaki memberitahu, kesemua mangsa yang cedera di bawa ke hospital dan sehingga Jumaat hanya lelaki yang mengalami patah kaki masih ditahan untuk menerima rawatan manakala selebihnya telah dibenarkan pulang.
"Saya dimaklumkan kanak-kanak yang mengalami cedera di kepala telah menerima beberapa jahitan.
"ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Manek Urai, Fauzi Abdullah telah hadir ke lokasi kejadian pada petang semalam dan titi gantung yang runtuh itu akan dibaik pulih segera," katanya.
Ujarnya, titi gantung itu telah dibaiki beberapa kali sebelum ini kerana ia merupakan kemudahan utama kepada penduduk di lima buah rumah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, laluan itu hanya boleh dilalui menggunakan motosikal serta pejalan kaki sahaja.
Tambahnya, ada laluan darat lain yang lebih jauh dan hanya boleh digunakan oleh motosikal sahaja.
"Apabila titi gantung ini runtuh, hasil pemeriksaan yang dilakukan semalam mendapati tali pengikat titi gantung di dalam simen sudah uzur dan perlu diganti baharu.
"InsyaALLAH Ahad ini pihak kami akan segera mengangkat masalah ini kepada pihak terlibat bagi mendapatkan peruntukan segera untuk baik pulih," katanya.