KOTA BHARU – “Alhamdulillah, kami tidak perlu membeli barang dapur untuk Ramadan ini.”
Demikian kata Alya Azman, 22, yang merupakan salah seorang penerima bakul makanan sumbangan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin, di sini pada Isnin.
Alya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berkata, barangan dapur yang diterima cukup untuk digunakan sepanjang Ramadan ini.
Beliau yang hadir mewakili ibunya, Norhashimawati Abdul Majib, 50, yang menghidap strok berkata, sumbangan tersebut amat disyukuri dan mencukupi untuk mereka berdua selepas kematian bapanya.
"Terima kasih pihak Andalusia Travel & Tours dan Masjid Imanul Faizin kerana memilih kami sebagai penerima, sekurang-kurangnya duit yang ada dapat digunakan untuk membeli barangan basah serta kelengkapan hari raya," katanya.
Sementara itu, mekanik, Azmi Che Kar, 63, bapa kepada tiga orang anak memberitahu, dia bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan zakat berkenaan.
Menurutnya, pendapatan yang tidak menentu menyebabkan beliau berasa resah untuk menyambut Ramadan kali ini.
“Tahun ini agak mencabar bagi saya sebagai seorang bapa kerana pada awal tahun perlu menyediakan persiapan persekolahan, diikuti Ramadan dan tidak lama lagi Aidilfitri.
“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan wang yang ada boleh digunakan untuk persiapan hari raya,” katanya.
Bagi Siti Nor Deraman, 58, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kerana bakul makanan yang diterima memudahkan keluarganya menyambut Ramadan.
Ujarnya, suaminya bekerja sebagai pemandu lori dan mereka mempunyai lima anak, justeru sumbangan berkenaan sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk menyediakan juadah berbuka puasa serta sahur.