Negara sudah maju tapi perangai masih sama

Iklan
Setiap kali cuti panjang, konsert, perayaan atau ambang tahun baharu, kita boleh agak apa yang bakal tinggal. Gambar hiasan

SETIAP kali perayaan diraikan, kita selalu bercakap tentang kegembiraan, kemeriahan dan kebersamaan. Namun selepas sambutan berakhir dan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing, satu perkara selalu tertinggal — sampah.

Hujung Disember lalu, sekitar Jalan Bukit Bintang, kawasan ikonik pelancongan negara dilaporkan dipenuhi sisa makanan, botol plastik dan bungkusan selepas sambutan ambang Krismas.

Iklan
Iklan

Gara-gara lambakan sampah tersebut, SWCorp Kuala Lumpur bersama syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan hingga jam 5 pagi.

Masalahnya, ini bukan kejadian terpencil. Ia sudah jadi pola berulang. Setiap kali cuti panjang, konsert, perayaan atau ambang tahun baharu, kita boleh agak apa yang bakal tinggal.

Iklan

Semasa sambutan ambang Tahun Baharu 2025, Alam Flora merekodkan peningkatan 18 peratus kutipan sampah di ibu negara berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak 3,620 kilogram sampah dikutip hanya dari tiga lokasi utama iaitu Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan sekitar KLCC. Pembersihan bermula 10 malam 31 Disember dan hanya selesai 8 pagi keesokan harinya. Bayangkan, satu malam berseronok, berjam-jam tenaga diperlukan untuk membersihkan akibatnya.

Malah, sikap segelintir rakyat yang suka membuang sampah merata-rata, termasuk mencampakkannya keluar dari tingkap kereta, sering menjadi bahan kecaman di media sosial. Banyak video tular memaparkan individu tanpa rasa bersalah membuang sampah di lebuh raya, kawasan perumahan dan tempat awam seolah-olah kebersihan itu kerja orang lain. Setiap kali viral, netizen marah, kecam dan kongsi, tapi lepas seminggu cerita hilang dan perangai sama berulang.

Iklan

Perkara ini turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap tidak bertanggungjawab ini, khususnya di pusat bandar dan kawasan awam.

Katanya, Malaysia sedang menuju ke arah negara maju dan bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun mentaliti 'asal buang' ini jelas mencemarkan imej bandar raya dan nama negara di mata pelancong.

Hakikatnya, bandar yang bersih mencerminkan masyarakat berbudaya tinggi. Kita boleh bina bangunan pencakar langit, pusat beli-belah mewah dan sistem pengangkutan canggih, tetapi kalau sampah masih dibuang sesuka hati, status negara maju itu tinggal slogan semata-mata.

Kesan pembuangan sampah bukan setakat menyakitkan mata dan mencemarkan imej. Ia membawa kesan nyata kepada kehidupan seharian. Sampah yang masuk ke longkang dan parit akan menyebabkan saliran tersumbat. Bila hujan lebat, air tak boleh mengalir dan akhirnya banjir kilat berlaku. Rumah dinaiki air, jalan sesak dan ekonomi terjejas.

Ironinya, kita marah bila banjir berlaku, tetapi jarang mengaku bahawa tangan kitalah antara penyumbangnya.

Kerajaan sudah memberi amaran, mulai 1 Januari 2026, SWCorp dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan lebih tegas. Denda sehingga RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat bakal dikenakan.

Bagaimanapun hukuman semata-mata tidak cukup jika sikap tidak berubah. Penguatkuasaan mesti sampai ke kampung, taman perumahan dan kawasan awam kecil kerana masalah ini bukan hanya di bandar besar.

Isu sampah di Malaysia bukan sekadar masalah kebersihan, tetapi masalah sikap dan budaya. Selagi masyarakat masih menganggap membuang sampah sebagai perkara remeh, selagi itulah imej negara terus tercalar.

*Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian