SUSULAN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari, timbul beberapa nama yang dikatakan berpotensi menerajui gabungan parti pembangkang itu.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa parti itu bakal mengusulkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Tanpa menyebut nama sesiapa, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memaklumkan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.
Memasuki hari pertama tahun 2026, media melaporkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkemungkinan besar dilantik memegang jawatan tersebut.
Pendapat itu dilontarkan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor selepas mengambil kira status Pas dan Bersatu selaku dua parti terbesar dalam gabungan itu.
Pada hemat beliau, selepas meneliti Perlembagaan PN, individu yang mengetuai PN lazimnya ialah ketua parti masing-masing dan jika daripada Pas, sudah tentu Abdul Hadi merupakan figura paling sesuai.
Dalam masa sama, tidak kurang juga yang mencadangkan nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kata Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, cadangan sedemikian dianggap menarik memandangkan Muhammad Sanusi ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
Begitu juga Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang memberikan sokongan penuh terhadap pencalonan Sanusi sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Beliau berpandangan, sokongan itu dibuat berasaskan keperluan mendesak PN untuk melakukan pembaharuan kepimpinan selari dengan realiti politik semasa serta cabaran besar yang dihadapi rakyat dan negara.
Katanya lagi, Sanusi dilihat sebagai pilihan paling tepat berikutan rekod kepimpinan dan pentadbiran beliau di Kedah yang membuktikan keupayaan mentadbir dengan berkesan.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada terdapat beberapa nama lain yang belum dilaporkan media selain Abdul Hadi dan Sanusi.
Persoalannya, adakah hanya Abdul Hadi dan Sanusi atau terdapat nama-nama lain yang mampu memegang jawatan penting itu.
Tidak mustahil sekiranya Abdul Hadi masih menjadi pilihan kerana kepimpinannya yang boleh dikatakan lebih lama makan garam dalam arena politik negara berbanding pemimpin lain.
Namun begitu, bakat dan karakter tersendiri Muhammad Sanusi, di samping kebolehannya menambat hati seluruh lapisan masyarakat khususnya golongan muda, tidak boleh dinafikan.