KWSP naikkan had pengeluaran haji, permudah persiapan jemaah

Iklan
KWSP mengumumkan peningkatan ketara had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

PENINGKATAN ketara had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera berkuat kuasa mulai 1 Januari memberi nafas baharu kepada perancangan kewangan umat Islam di negara ini.

Peningkatan had itu menjadi antara penambahbaikan yang diumumkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus memberi sinar dan juga kelegaan khususnya kepada umat Islam dalam membuat persiapan kewangan untuk ke Tanah Suci.

Iklan
Iklan

KWSP dalam kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan bertujuan membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji supaya dapat membuat persediaan kewangan dengan lebih selesa dan terancang.

Menurut kenyataan itu, keperluan untuk mengesahkan baki simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran turut dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan serta mempercepatkan perancangan ibadah berkenaan.

Iklan

Peningkatan had pengeluaran berkenaan dilihat lebih selari dengan realiti kos haji semasa yang semakin meningkat, sekali gus menjadikan perancangan ibadat tersebut lebih praktikal dan munasabah.

Bagi bakal jemaah, kelonggaran tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya membawa ketenangan jiwa kerana beban menyediakan dana besar kini dapat diringankan.

Iklan

Ia membolehkan persiapan haji dilakukan dengan lebih terancang, sama ada dari sudut bayaran awal, keperluan perjalanan mahupun perbelanjaan asas sepanjang berada di Tanah Suci.

Langkah tersebut turut memberi isyarat bahawa aspek ibadat dan keperluan rohani rakyat tidak diketepikan dalam pengurusan simpanan dan dasar kebajikan negara.

Walaupun disambut baik, bakal jemaah tetap disaran menggunakan kemudahan terbabit secara bijak agar simpanan persaraan tidak terjejas secara berlebihan.

Disiplin kewangan perlu menjadi keutamaan supaya niat menunaikan haji dapat direalisasikan tanpa mengorbankan keperluan masa depan.

Dalam suasana kos sara hidup yang mencabar, sebarang inisiatif yang membantu meringankan beban rakyat sememangnya wajar dipuji, apatah lagi berkaitan ibadat yang menjadi impian seumur hidup seluruh umat Islam.

Sudah semestinya kenaikan had pengeluaran KWSP untuk tujuan haji benar-benar membawa khabar gembira buat bakal jemaah, sekali gus kelonggaran itu mampu menjadikan perjalanan menunaikan ibadat haji lebih tenang, terancang dan bermakna.