PADA 26 Disember 2025, Israel menjadi negara pertama di dunia secara rasmi mengiktiraf Somaliland, wilayah yang memisahkan diri daripada Somalia sejak 1991 sebagai sebuah ‘negara merdeka dan berdaulat’ setelah beberapa dekad wilayah itu kekal tanpa pengiktirafan antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, yang menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan membuka kerjasama diplomatik dan ekonomi dalam sektor pertanian, kesihatan, teknologi dan ekonomi antara Israel dan Somaliland.
Israel juga mengundang Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdullahi untuk mengukuhkan hubungan dan kedua-dua negara berikrar akan membuka kedutaan serta menetapkan duta masing-masing.
Namun langkah ini telah mencetuskan kecaman global luas dan reaksi diplomatik yang kuat dari pelbagai blok serantau dan antarabangsa.
Somalia mengecamnya sebagai serangan terhadap kedaulatan dan integriti wilayahnya menegaskan bahawa Somaliland ialah sebahagian tidak terpisah dari Republik Persekutuan Somalia.
Ironi paling ketara ialah masa dan konteks pengiktirafan ini berlaku ketika Israel sedang menghadapi kecaman hebat daripada komuniti antarabangsa berhubung konflik Israel–Hamas serta isu Palestin.
Kritikan terhadap tindakan Israel sering menyorot bagaimana Tel Aviv terus menceroboh dan menjarah tanah Palestin sambil menolak hak penentuan diri rakyat Palestin, walaupun terdapat tekanan dunia untuk iktiraf negara Palestin.
Dalam masa yang hampir sama, Israel pula menghulurkan pengiktirafan kepada sebuah wilayah yang tidak diakui secara meluas untuk kepentingan politiknya sendiri, menghidupkan persepsi bahawa pengiktirafan negara boleh dijadikan alat diplomasi strategik, bukan prinsip hak asasi atau kewajipan undang-undang antarabangsa.
Beberapa pemerhati turut membangkitkan bahawa langkah ini mungkin tidak semata-mata soal sokongan kepada Somaliland, tetapi juga merangkumi helah strategi Israel dalam memperluas pengaruhnya di Afrika dan di laluan strategik rantau di timur benua Afrika dan Laut Merah.
Lokasi Somaliland memberi akses kepada laluan maritim utama berhampiran Yemen, satu kawasan yang juga penting bagi keselamatan maritim Israel dan rakan strategiknya.
Ada juga spekulasi bahawa tindakan ini ikut berkait dengan naratif Israel untuk menguruskan isu Palestin dalam cara yang kontroversial, termasuk dakwaan lama bahawa beberapa pihak pernah mencadangkan penggunaan Somaliland sebagai lokasi relokasi orang Palestin dari Gaza, dakwaan yang Israel dan pelbagai pemerintah lain menafikan secara rasmi tetapi terus menjadi sebahagian dimensi diplomatik global.
Lebih 20 negara Afrika, Asia dan Islam termasuk OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) secara terbuka menolak atau mengecam pengiktirafan tersebut menyatakan, ia mengancam keamanan serantau, melanggar undang-undang antarabangsa dan membuka pintu kepada konflik baru di rantau timur Afrika.
Bahkan Dewan Keamanan PBB mengadakan sidang darurat bincang implikasi keputusan Tel Aviv ini, menunjukkan betapa seriusnya isu ini dilihat dalam arena antarabangsa.
Anehnya, ketika Israel memberi pengiktirafan kepada sebuah wilayah pemisah bagi keuntungan strategik, ia masih berdepan tuduhan dunia terhadap tindakannya di Palestin, di mana hak rakyat Palestin untuk negara sendiri sering diketepikan dalam konflik berterusan.
*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah Wartawan Sinar Harian