KOTA BHARU — Rakyat Kelantan boleh mengemukakan permohonan lesen mendulang emas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Tanah dan Jajahan di negeri ini bermula esok.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan boleh dibuat secara manual di kaunter-kaunter pejabat itu dengan mengisi borang yang disediakan serta terus dihantar untuk penilaian.
“Pentingnya, paling utama bawa kad pengenalan bagi membuktikan dan mengesahkan status sebagai rakyat Kelantan.
“Tiada had jumlah permohonan, boleh hantar dan kami akan nilai secara kes demi kes berdasarkan syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya bersedia dari segi pembukaan kaunter bagi urusan penerimaan permohonan yang dijangkakan akan menarik ramai rakyat Kelantan.
Mengulas kawasan pendulangan, beliau menjelaskan beberapa lokasi dikenal pasti melibatkan daerah seperti Jeli, Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai, namun pewartaan kawasan secara tepat hanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Sebahagian kawasan dikenal pasti mempunyai mineral ini, tinggal saja proses untuk diwartakan sebagai kawasan boleh mendulang yang akan diumumkan kemudian.
“Kami jangkakan sambutan menggalakkan bagi permohonan lesen berdasarkan maklum balas orang ramai di media sosial,” katanya.
Beliau menegaskan, kelulusan tidak akan dibuat secara automatik walaupun permohonan diterima dalam jumlah yang ramai, sebaliknya setiap permohonan akan diteliti berdasarkan kelayakan dan tempoh kelulusan lesen juga dijangka akan mengambil sedikit masa.
Dalam pada itu, kata beliau, bagi urusan penjualan hasil mineral tersebut hanya akan dibenarkan dijual kepada pembeli emas yang mendapat kelulusan kerajaan negeri itu.
"Bagi pembeli emas, kumpulan ini juga perlu berurusan secara berasingan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan beli emas dulang tersebut,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan kebenaran untuk mendulang emas di tanah milik kerajaan negeri itu dengan lesen bernilai RM100 setahun kepada rakyat Kelantan sahaja.