BEIJING – Ibu bapa di China dikesan menggunakan video palsu yang dijana kecerdasan buatan (AI) memaparkan wanita bujang berusia, menangis dan meluahkan penyesalan hidup bagi mendesak anak-anak mereka yang masih belum berkahwin supaya segera mendirikan rumah tangga.
Video-video berkenaan yang tular di platform media sosial berformat video pendek, memaparkan wanita kononnya berusia 50-an menangis di koridor hospital sambil mengeluh kerana tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak.
Dalam salah satu klip, seorang wanita berusia 58 tahun digambarkan menyesal kerana tidak berkahwin ketika muda dan terpaksa berurusan seorang diri di hospital.
Video lain memaparkan wanita berusia 56 tahun mendakwa tidak mengendahkan nasihat ibu bapanya untuk berkahwin, lalu menyifatkan keputusannya sebagai satu kesilapan besar.
Walaupun kandungan tersebut dilabel sebagai 'dijana AI', video berkenaan tetap menerima perhatian meluas, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak dewasa masih bujang.
Ada yang menyifatkannya sebagai 'alat pendidikan' untuk menyedarkan generasi muda.
“Lebih banyak video seperti ini perlu dihasilkan supaya mereka yang masih berkeras mahu hidup bujang boleh melihat realiti,” tulis seorang pengguna media sosial.
Bagaimanapun, video tersebut turut mencetuskan reaksi sinis daripada golongan muda. Ada yang mempersoalkan gambaran wanita bujang dalam video itu, dengan menyatakan wanita bujang sebenar pada usia 50-an kelihatan lebih sihat dan muda berbanding watak rekaan AI.
Seorang pengguna lain meluahkan kebimbangan apabila ibu bapanya mempercayai video tersebut sebagai benar, sekali gus menimbulkan risiko penipuan pada masa depan.
Ada juga yang menyifatkan video itu sengaja mencetuskan kebimbangan dan konflik antara golongan berkahwin dan bujang.
“Tiada betul atau salah dalam memilih untuk berkahwin atau hidup bujang. Kedua-duanya adalah jalan berbeza menuju kebahagiaan,” kata seorang pengguna lain.
Fenomena ini berlaku ketika China berdepan penurunan kadar perkahwinan yang ketara. Tahun lalu, hanya 6.1 juta pasangan mendaftarkan perkahwinan, iaitu angka terendah sejak 1980.
Populasi China juga menyusut untuk tahun ketiga berturut-turut, walaupun jumlah kelahiran meningkat sedikit kepada 9.54 juta bayi, sebahagiannya dikaitkan dengan kepercayaan bahawa bayi lahir pada Tahun Naga membawa tuah.
Trend ini mencerminkan perubahan sikap generasi muda China yang semakin memilih gaya hidup solo, berbeza dengan pandangan tradisional ibu bapa yang menganggap kebahagiaan hanya dapat dicapai melalui perkahwinan dan keluarga. - Agensi