Program 'gentengisasi': Impian baharu Prabowo

Iklan
Prabowo (tengah) ketika mengumumkan program baharu pentadbiran beliau di Jawa Barat pada awal bulan lalu.

JAKARTA - Pada bulan lalu, Fitriyenni bersama keluarganya terpaksa berpindah kerana keadaan rumah mereka yang semakin teruk.

"Bumbungnya bocor. Jadi, kami perlu mencari tempat berlindung lebih baik di rumah keluarga mentua saya," kata wanita berusia 41 tahun itu.

Iklan
Iklan

Rumahnya yang beratapkan zink itu tidak lagi selamat untuk didiami dan dia tidak mampu membaiki struktur tersebut akibat kekangan kewangan.

Fitriyenni bagaimanapun menyambut baik rancangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang mahu menggantikan atap zink di seluruh negara dengan genting tanah liat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Iklan

"Syukurlah jika ia diberikan secara percuma. Ia seperti mendapat ubah suai rumah," katanya.

Prabowo (tengah) ketika mengumumkan program baharu pentadbiran beliau di Jawa Barat pada awal bulan lalu.

Iklan

Prabowo menggambarkan program tersebut sebagai usaha untuk mewujudkan kediaman yang lebih sejuk dan indah.

“Saya lihat hampir semua kampung dan bandar terdapat banyak bumbung zink. Ia sebenarnya lebih panas dan mudah berkarat,” katanya di Bogor, Jawa Barat pada awal bulan lalu.

Program untuk menggantikan bumbung zink tersebut digelar 'gentengisasi' yang bermaksud atap genting.

"Penggunaan bumbung tersebut akan menjadikan landskap lebih teratur dan bersih, sekali gus dapat menarik pelancong. Saya berharap dalam tempoh dua hingga tiga tahun, pemandangan di kawasan penempatan akan berubah. Indonesia sedang bangkit," ujar Prabowo lagi.

Program penggantian bumbung akan menjadi sebahagian daripada rancangan kerajaan yang lebih meluas untuk mempromosikan persekitaran yang selamat, sihat, bersih dan indah.

Tambahnya, penggantian bumbung juga akan memacu industri tempatan dan mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan daya ekonomi.

Prabowo mendakwa bumbung genting tanah liat sesuai dengan iklim tropika negara itu serta dapat memberikan keselesaan haba yang lebih baik kepada pemilik rumah dan meningkatkan kualiti hidup keluarga meskipun ada yang percaya ia kurang sesuai di kawasan terdedah bencana.

Butiran pembiayaan program itu bagaimanapun didedahkan. Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, program 'gentengisasi' tersebut dianggarkan tidak melebihi 1 trilion rupiah (RM232 juta) kerana ia hanya melibatkan rumah berbumbung zink.

Penggantian bumbung juga akan memacu industri bumbung tempatan dan mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan nilai ekonomi.

Cetus skeptisisme

Pakar sekali lagi mempersoalkan keperluan program tersebut dan kos yang mungkin terlibat, sama ada ia benar-benar merupakan pilihan yang lebih mampan dari segi alam sekitar.

“Terdapat pelbagai pertimbangan yang perlu diambil kira termasuk lokasi. Sesetengah rumah sudah mempunyai suhu yang selesa manakala yang lain pula akan jadi lebih panas,” kata Mahawan Karuniasa, pakar alam sekitar dari Universitas Indonesia.

Pakar dasar awam dari Universiti Trisakti, Trubus Rahadiansyah juga meluahkan kebimbangan mengenai bajet program tersebut yang dipercayai akan melebihi anggaran asal.

Sementara itu, penganalisis berpendapat program tersebut mungkin cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada masalah yang lebih besar berkaitan isu perumahan, penggunaan tanah dan pengurusan alam sekitar di Indonesia.

"Pemerintah sepatutnya menumpukan perhatian kepada program-program lain yang masih belum dijalankan sepenuhnya.

Sebagai contoh, program Makanan Bergizi Gratis (MBG) yang dilancarkan untuk mengatasi masalah malnutrisi dan satu lagi projek yang mahu membangunkan tiga juta rumah untuk golongan miskin setiap tahun yang masih dalam proses pelaksanaan.

"Perumahan bukan sekadar tentang bumbung. Ia melibatkan sanitasi, pengudaraan, pencahayaan dan peredaran udara yang sihat," jelas penganalisis hartanah berpusat di Jakarta, Anton Sitorus.

Menurutnya, Indonesia masih menghadapi cabaran asas untuk melaksanakan program tiga juta rumah seperti ketersediaan tanah, peraturan dan pembiayaan. Langkah mengatasi kekangan tersebut mungkin lebih mendesak berbanding menukar bumbung.

Tetapi, bagi pengusaha kilang bumbung genting tanah liat, ia merupakan peluang perniagaan yang besar buat mereka.

"Saya berharap akan ada peningkatan permintaan dan juga bantuan daripada kerajaan supaya kilang saya akan terus berkembang," kata Syarif yang merupakan pemilik kilang di Majalengka, Jawa Barat. - Agensi