'Kelengkapan sekolah anak habis terbakar, tiada satu pun tinggal'

Iklan
Kebakaran sekitar jam 4 petang pada Isnin menyebabkan empat keluarga di Kampung Kuala Pari Hilir, Ipoh tinggal sehelai sepinggang.

IPOH - Baru sahaja menerima sumbangan kelengkapan persekolahan, sebuah keluarga berputih mata apabila semua barangan tersebut musnah dalam kebakaran membabitkan empat kediaman di Kampung Kuala Pari Hilir di sini pada Isnin.

Mangsa, Norhafizah Aziz, 35, berkata, baju sekolah, beg, kasut dan buku anak perempuannya berusia 7 tahun itu hangus dalam kejadian berkenaan, sekali gus menjejaskan persiapan mereka sekeluarga.

Iklan
Iklan

"Baru Ahad lepas kami terima bantuan kelengkapan sekolah daripada Ahli Parlimen Ipoh Timor, tetapi semuanya sudah hangus.

"Anak saya menangis bila tahu semua barangan sekolahnya terbakar, tak ada satu pun yang tinggal," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari di sini pada Selasa.

Iklan

Norhafizah

Menurut Norhafizah, kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya, sebelum api merebak dengan pantas menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan diri.

Iklan

"Saya cuma sempat ambil barang-barang penting dan bawa anak-anak berlari keluar. Ada beberapa penduduk cuba padamkan api menggunakan paip air, tapi tidak berjaya.

"Bunyi letupan memaksa kami duduk jauh dari lokasi kerana api semakin marak dan asap tebal mula memenuhi rumah," katanya.

Keadaan empat deretan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Pari Hilir, Ipoh pada Isnin.

Mangsa lain, Rohana Hasim, 38, berkata, dia hanya tersedar rumahnya terbakar selepas terdengar jeritan jiran yang meminta semua penghuni segera keluar menyelamatkan diri.

Dia yang sedang tidur bersama anak lelakinya berusia lima tahun segera melarikan diri selepas mendapati asap tebal memenuhi rumah.

Rohana

"Bila dengar jeritan dan budak-budak menangis, saya panik terus keluar. Teringat kad pengenalan, saya masuk semula capai beg, ketika itu pun asap dah tebal dan hitam," katanya.

Suri rumah itu berkata, keluarga kecilnya yang menyewa di kediaman itu sejak 10 tahun lalu hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai penghantar barang.

Buat sementara waktu katanya, mereka akan mengikut saranan ketua kampung untuk mencari rumah sewa berdekatan memandangkan kos deposit yang tinggi.

"Kalau rumah itu boleh dibaik pulih, kami sanggup sewa semula sebab jiran-jiran semua macam adik-beradik,” katanya yang berharap kerajaan dapat membantu menyediakan penempatan sementara.

Seorang lagi mangsa, Ani Mat Saman, 54, menyifatkan, kejadian tersebut sebagai pengalaman paling memilukan sepanjang lebih 20 tahun menyewa di kawasan berkenaan.

Ani

"Sedih memang sedih, tapi kami reda. Apa nak buat, semua dah habis," katanya yang memaklumkan keluarganya kini merancang untuk mencari rumah sewa lain selepas urusan pemindahan selesai.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, empat keluarga melibatkan 22 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak terpaksa ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Pari Hilir, Ahmad Sofian Yahya berkata, pihaknya sedang berusaha mencari rumah sewa sementara untuk menempatkan semua mangsa yang terjejas.

Ahmad Sofian

Ujarnya, semua mangsa merupakan keluarga B40 dan sebahagian besar baru sahaja menerima bantuan kelengkapan persekolahan pada Ahad sebelum rumah mereka terbakar.

"Setakat ini, kami telah mengenal pasti tiga rumah di kampung ini yang bersedia disewa sementara untuk menempatkan mangsa.

"Kami akan cuba mendapatkan empat rumah, dengan saiz dan kapasiti yang bersesuaian mengikut bilangan keluarga masing-masing,” katanya.