Hanya ketegasan penentu masa depan PN

Iklan
Jika PN mahu kekal sebagai alternatif yang diyakini rakyat, PN tidak boleh membiarkan krisis seperti Perlis berulang tanpa pembetulan. Gambar kecil: Mukhtaruddin

KEMELUT politik Perlis pada penghujung 2025 tidak wajar dibaca sebagai episod “tukar orang, selesai cerita”. Ia sebenarnya ujian terbesar terhadap disiplin organisasi dan semangat setiakawan dalam kalangan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Krisis yang pada awalnya kelihatan berlegar sebagai isu dalaman sebuah komponen akhirnya merebak menjadi persoalan lebih besar: adakah PN benar-benar menjunjung integriti dan disiplin gabungan, atau PN sekadar tegas apabila ia selari dengan kepentingan pihak tertentu.

Iklan
Iklan

Dalam tempoh yang singkat, Perlis, sebuah negeri paling kecil dari segi keluasan telah berdepan satu pergolakan politik yang besar.

Isu bermula apabila muncul tindakan lapan ADUN PN tidak lagi menyokong Menteri Besar ketika itu, YB Cikgu Shukri dan menandatangani surat akuan bersumpah (SD). Situasi ini kemudiannya disusuli tindakan Pas yang menamatkan keahlian tiga ADUNnya walaupun menyedari tindakan tersebut membawa risiko politik, termasuk menggoncang kestabilan kerajaan negeri.

Iklan

Kemuncak kemelut berlaku apabila Menteri Besar meletakkan jawatan pada 25 Disember, dan ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu pada 28 Disember.

Secara rasmi, peletakan jawatan itu dikaitkan dengan faktor kesihatan, namun dalam politik, masa dan konteks sering membawa makna yang lebih besar daripada satu kenyataan tunggal.

Iklan

Justeru, persepsi awam terhadap PN sedang diuji, sama ada ia mampu mengurus krisis dengan prinsip, atau sekadar menutup kelemahan secara teknikal.

Di sebalik ribut politik Perlis, PN masih memiliki ruang dan peluang untuk mempertahankan kepercayaan rakyat, tetapi ruang itu bukan tanpa syarat.

Antara faktor yang mengangkat PN dalam PRU15 ialah persepsi bahawa PN lebih berprinsip, berintegriti dan dekat dengan denyut nadi rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi muda.

Pada masa sama, PRU15 juga membuktikan landskap sokongan negara semakin terpisah mengikut demografi dan geografi: PN melonjak ketara dan sering dikaitkan dengan sokongan generasi muda, manakala PH kekal kuat terutama dalam komuniti bukan Melayu serta kawasan bandar.

Hakikat lain yang tidak boleh disorokkan ialah PH muncul sebagai blok terbesar dari segi kerusi, dan kerajaan persekutuan terbentuk tanpa PN.

Ini penting disebut kerana ia menunjukkan satu realiti: kekuatan PN bukan “jaminan automatik” untuk menguasai naratif nasional. Dalam politik moden, “jenama” paling mahal bagi gabungan pembangkang ialah konsistensi, dan konsistensi itu hanya pada PN sahaja ketika ini. Jenama ini akan terpelihara jika PN dilihat tegas pada prinsip tanpa memilih kes.

Dalam konteks inilah tindakan Pas dalam kes Perlis membawa makna strategik yang besar. Pas menampilkan satu isyarat disiplin yang jelas dan sukar dinafikan: mandat parti dan mandat gabungan tidak boleh diperlakukan sebagai milik individu.

Dari sudut pengurusan organisasi, tindakan yang menanggung risiko demi disiplin membentuk standard - bahawa ada “garis merah” yang tidak boleh dilangkaui.

Sama ada semua pihak setuju atau tidak, mesej tersebut nyata: parti mesti lebih utama daripada kelangsungan individu. Standard inilah yang selama ini membolehkan PN tampil “berbeza” berbanding politik lama yang sering dipacu tawar-menawar kuasa.

Lebih penting, disiplin sebegini memberi keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan ini tidak dikawal oleh tindakan “memandai-mandai” segelintir pihak yang boleh mengheret seluruh gabungan ke dalam krisis.

Namun, masalah paling mencalarkan imej PN hari ini bukan semata-mata krisis Perlis, tetapi persepsi “double standard” yang terpalit pada Bersatu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada ADUN mereka untuk menandatangani SD, dan parti akan mendapatkan penjelasan bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Walau apa pun penjelasan rasmi, persoalan di mata penyokong gabungan tetap wujud: jika Pas mampu bertindak tegas dan pantas atas nama disiplin, mengapa Bersatu kelihatan lambat, berhati-hati, atau seolah-olah menunggu?

Dalam politik persepsi, kelambatan bertindak sering di tafsir sebagai kelemahan kepimpinan, atau lebih buruk, sebagai isyarat bahawa disiplin boleh dirunding mengikut kedudukan.

Tambahan pula, pelantikan Menteri Besar baharu daripada Bersatu dalam suasana ketegangan antara komponen meningkatkan lagi sensitiviti hubungan dalam PN.

Dalam gabungan politik, ketidakseragaman tindakan disiplin bukan isu kecil - ia boleh menjadi punca hubungan tidak harmoni, menjejaskan koordinasi, dan akhirnya menghakis keyakinan pengundi.

Jika PN mahu kekal sebagai alternatif yang diyakini rakyat, PN tidak boleh membiarkan krisis seperti Perlis berulang tanpa pembetulan.

Rakyat sudah letih menyaksikan perebutan kuasa, percaturan dalaman, dan pertukaran yang tidak disertai pembaikan struktur. Dalam PRU15, sebahagian rakyat memilih PN kerana mereka mahukan kestabilan, ketegasan, dan kecekapan - termasuk pengalaman mentadbir ketika negara berdepan krisis seperti pandemik.

Maka, tindakan yang diperlukan sekarang bukan kosmetik, tetapi pembetulan yang jelas pada budaya organisasi dan disiplin gabungan.

Pada masa sama, naratif lama yang menggambarkan negeri-negeri PN yang dipimpin Pas sebagai “mundur” tidak lagi semudah dahulu untuk dipertahankan kerana wujud indikator tertentu - termasuk rekod pelaburan - yang sering dijadikan sandaran bahawa pentadbiran Pas juga mampu memacu pembangunan, termasuk pembangunan yang lebih holistik dan berteraskan nilai.

Kesimpulannya, Perlis ialah amaran strategik: PN mungkin boleh memenangi pilihan raya, tetapi PN juga boleh kehilangan kepercayaan jika gagal mengurus integriti dalaman secara konsisten.

Dalam episod ini, Pas telah menunjukkan kemampuan membayar harga prinsip melalui tindakan disiplin yang tegas walaupun berisiko.

Justeru, jika PN benar-benar mahu membezakan dirinya daripada politik oportunis, PN perlu dipimpin oleh kepimpinan yang paling konsisten dengan prinsip, disiplin dan ketegasan.

Dalam kerangka itu, hujah bahawa Pas wajar memimpin PN bukan semata-mata slogan, tetapi satu tuntutan strategik: gabungan yang mahu dipercayai mesti dipimpin oleh pihak yang mampu menguatkuasakan standard - tanpa memilih kes, tanpa melengah-lengah, dan tanpa mengorbankan setiakawan gabungan.

Hanya dengan ketegasan berprinsip inilah PN mampu bertahan sebagai pilihan serius menuju PRU16.

* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari, dan pemerhati politik semasa.