LONDON – Israel sekali lagi berada di kedudukan paling bawah dalam Indeks Jenama Negara (Nation Brands Index, NBI) 2025, susulan kejatuhan mendadak persepsi global terhadap negara itu, menurut data yang dikeluarkan oleh BrandIL pada Khamis.
Israel mencatatkan penurunan skor keseluruhan sebanyak 6.1 peratus, iaitu kejatuhan paling besar sejak indeks tersebut diperkenalkan hampir dua dekad lalu, sekali gus meletakkannya di tangga ke-50 daripada 50 negara yang dinilai buat tahun kedua berturut-turut.
Indeks Jenama Negara yang dibangunkan oleh penasihat dasar, Simon Anholt, dan dijalankan setiap tahun oleh firma penyelidikan antarabangsa Ipsos, menilai persepsi masyarakat dunia terhadap sesebuah negara berdasarkan tinjauan pendapat awam berskala besar, bukannya prestasi sebenar berasaskan data ekonomi atau ketenteraan.
Menurut metodologi Ipsos, penilaian dibuat merangkumi enam penunjuk utama iaitu pelancongan, rakyat, budaya, imigresen dan pelaburan, eksport serta tadbir urus, bagi menggambarkan sentimen global sepanjang tempoh kajian.
Tinjauan bagi edisi 2025 dijalankan antara Ogos hingga September 2025, melibatkan kira-kira 40,000 responden di 20 negara, yang mewakili hampir 70 peratus populasi dunia.
Laporan tersebut mendapati, kritikan global terhadap Israel kini tidak lagi tertumpu kepada kepimpinan politik semata-mata, sebaliknya turut meluas kepada masyarakat Israel secara keseluruhan.
Dalam kategori sentimen terhadap rakyat – merangkumi aspek kepercayaan, empati dan muhibah – Israel berada di kedudukan terakhir, mencerminkan kejatuhan ketara persepsi positif terhadap warganya.
Penemuan itu selari dengan peningkatan insiden ketegangan dan konfrontasi bermusuhan yang dialami rakyat Israel di luar negara, termasuk ancaman keselamatan, serangan fizikal, pemutusan hubungan dalam bidang kebudayaan dan akademik, serta boikot tidak rasmi di pelbagai peringkat.
Kemerosotan paling ketara direkodkan dalam kalangan responden Generasi Z, khususnya di negara-negara Barat, apabila Israel secara meluas dilihat sebagai negara kolonial atau tidak sah.
Para penyelidik turut menyatakan bahawa perbezaan antara dasar kerajaan Israel dan kepelbagaian pandangan dalam masyarakatnya kini semakin kabur dalam persepsi global.
Israel juga berada di tangga terakhir dalam kategori persepsi terhadap eksport dan produk, mencerminkan keengganan yang semakin meningkat untuk berurusan dengan barangan dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan negara itu.
Walaupun indeks ini mengukur sentimen dan bukan tingkah laku pembelian, laporan berkenaan memberi amaran bahawa kerosakan reputasi berpanjangan boleh membawa kesan ekonomi jangka panjang, termasuk penurunan pelaburan asing, kemerosotan sektor pelancongan dan hakisan kepercayaan antarabangsa.-Agensi