JAKARTA - Misteri objek yang disangka mayat dikendong seorang lelaki hingga menggemparkan penduduk setempat akhirnya terjawab.
Pihak berkuasa mengesahkan Dede Suherli, 29, dari Tambora, Jakarta Barat di Indonesia sebenarnya membawa seekor biawak.
"Kami sudah mendapatkan keterangannya setelah rakaman memaparkan Dede membawa bungkusan seperti mayat manusia itu menjadi tular," kata Kasat Reskrim Polres Metro Jakarta Barat AKBP Arfan Zulkan Sipayung.
Arfan berkata, haiwan itu masih hidup ketika ia dikendong Dede yang berjalan kaki kerana tidak mempunyai wang untuk menaiki pengangkutan awam.
"Biawak itu ditangkap di Petojo, Jakarta Pusat. Dia merancang mahu membelanya. Haiwan itu berukuran agak besar dan sepanjang hampir dua meter seperti saiz manusia," jelasnya.
Pada akhir minggu lalu, warganet heboh dengan klip diperoleh daripada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan pemilik akaun @warga.jakbar di Instagram yang jelas menunjukkan ia seperti mayat berbungkus di Kampung Krendang Selatan, Gang 2, RT 012/06, Kelurahan Krendang, Kecamatan Tambora. - Agensi