Bekas guru Perancis didakwa cabul 89 remaja sejak 1960-an

Iklan
Kesalahan seksual di Perancis sebelum 1993 tertakluk kepada had masa undang-undang. - Gambar hiasan

GRENOBLE - Seorang warga emas Perancis, Jacques Leveugle, 79, telah didakwa atas kes rogol dan serangan seksual membabitkan 89 remaja dalam satu kes penderaan berskala besar yang didakwa berlangsung merentasi pelbagai negara sejak tahun 1960-an.

Pendakwa Grenoble, Etienne Manteaux berkata, Leveugle ditahan selepas anak saudaranya menemui pemacu USB yang mengandungi butiran hubungan seksual dengan mangsa berusia antara 13 dan 17 tahun.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa mengambil langkah luar biasa dengan mendedahkan identiti suspek bagi menggalakkan lebih ramai mangsa tampil, memandangkan hanya sekitar 40 mangsa dikenal pasti setakat ini.

Menurut polis, kesalahan didakwa berlaku antara 1967 hingga 2022.

Iklan

Leveugle pernah bekerja sebagai guru tidak rasmi dan pembantu di kem percutian yang memberi peluang kepadanya mendekati remaja.

Siasatan turut menunjukkan beliau pernah tinggal atau mengembara ke Perancis, Jerman, Switzerland, Maghribi, Niger, Algeria, India, Filipina, Colombia dan Kaledonia Baru dengan polis percaya penderaan turut berlaku di negara-negara tersebut.

Iklan

USB yang ditemukan mengandungi kira-kira 15 jilid bahan termasuk foto dan catatan terperinci tentang interaksinya dengan mangsa.

Dalam siasatan, Leveugle juga didakwa mengaku membunuh ibu kandungnya pada 1974 dan ibu saudaranya pada 1992 dengan menekup mereka menggunakan bantal kononnya atas alasan “belas kasihan”.

Kes pembunuhan itu kini disiasat secara berasingan.

Di Perancis, kesalahan seksual sebelum 1993 tertakluk kepada had masa undang-undang, namun pihak pendakwa menegaskan gambaran penuh jenayah tetap penting untuk direkodkan.

Kes tersebut mengingatkan kepada dua kes besar di Perancis sebelum ini yang mana pesalah menyimpan rekod terperinci tindakan mereka sehingga membantu pihak berkuasa membawa mereka ke muka pengadilan. - Awani