IPOH – Suasana di Port Lepak Jerung, sebuah kawasan persinggahan popular pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands, kelihatan suram apabila premis itu diarahkan tutup sementara bermula Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan premis telah dipasang garisan kuning sebagai tanda larangan memasuki lokasi.
Notis pemberitahuan penutupan selama sebulan sehingga 31 Januari depan oleh Jabatan Perhutanan Perak turut diletakkan di setiap sudut premis sebagai makluman awam.
Beberapa pengguna jalan raya dilihat berhenti untuk singgah, namun terpaksa beredar selepas menyedari notis penutupan yang dipasang di kawasan berkenaan.
Pekerja swasta, R Surendran, 48, dari Pulau Pinang berkata, premis berkenaan merupakan lokasi yang sering disinggahi setiap kali bercuti ke Cameron Highlands.
“Kalau lalu sini, memang saya akan singgah makan sebab pemandangan sangat cantik. Saya tak tahu pula kedai ini ditutup sementara,” katanya.
Arahan penutupan itu dikeluarkan susulan kebimbangan berkaitan isu hakisan tanah di kawasan berkenaan yang tular di media sosial sejak Khamis, selepas rakaman dron menunjukkan cerun berhampiran premis tersebut mengalami hakisan.
Pemilik Port Lepak Jerung, Shahidan Mahamad berkata, penutupan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan penilaian lanjut, terutama berkaitan struktur tanah dan sistem saliran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, lima jabatan termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah hadir ke lokasi hari ini bagi mengadakan perbincangan dan menjalankan prosedur awal untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Mereka minta saya tutup sementara bagi membolehkan siasatan dan penilaian dibuat. Saya serahkan kepada pihak yang lebih arif kerana ini melibatkan keselamatan cerun,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Shahidan berkata, isu hakisan cerun tersebut mula dikesan sejak tahun lalu dan laporan berkaitan telah dibuat kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
Katanya, hujan lebat berterusan serta kerosakan sistem saliran menyebabkan hakisan cerun bertambah buruk dan menghampiri kawasan premis.
“Sepanjang dua tahun pertama beroperasi, tak pernah lagi berlaku runtuhan cerun di kawasan ini sehinggalah hujung tahun lalu.
“Saya yakin, jika sistem saliran ini diselenggara dengan betul dan aliran air dikawal dengan selamat, insya-ALLAH kawasan ini tidak akan berlaku hakisan lagi,” katanya.
Beliau berkata, meskipun akur dengan penutupan tersebut, pihaknya berharap tindakan pembaikan dapat dilakukan segera supaya premis itu dapat beroperasi semula.
Tambahnya, Port Lepak Jerung yang terletak kira-kira 45 kilometer dari Simpang Pulai dan sekitar 40 kilometer sebelum tiba di Cameron Highlands, bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah berperanan sebagai tempat persinggahan awam, terutama bagi kemudahan tandas dan solat.
“Kami buka setiap hari. Dalam sehari, boleh dikatakan tidak kurang daripada 400 pengunjung singgah di sini.
“Ramai yang berhenti untuk berehat, solat, menggunakan tandas atau sekadar mengambil gambar. Saya sediakan kemudahan untuk semua, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata,” katanya.