Emas, perak pecah rekod akhir tahun

Iklan
Emas dan perak menjadi pilihan kerana sifat mereka mempertahankan nilai masing-masing berbanding dollar.

SEBELUM kebanyakan pelabur bercuti Krismas dan hujung tahun, harga emas dan perak naik hingga mencapai paras tertinggi di dalam sejarah. Adakah ini satu kebetulan sahaja?

Di antara alasan yang diberikan oleh pemerhati pasaran ialah kebimbangan pelabur ke atas tindakan Rizab Persekutuan Amerika (FED) menurunkan kadar faedah di kala kadar inflasi masih di atas 2 peratus.

Iklan
Iklan

Di samping itu, FED juga mengumumkan program pembelian bon jangka pendek kerajaan Amerika sebanyak AS$40 bilion sebulan yang dikatakan untuk menguruskan kedudukan rizab FED.

Walaupun FED tidak menamakan pembelian bon ini sebagai “quantitive easing” atau pun suntikan dana ke dalam pasaran seperti mana yang dilakukan semasa zaman pandemik Covid-19 dahulu, hasilnya tetap sama.

Iklan

Oleh yang demikian, ramai pelabur mengunjurkan bahawa kadar inflasi akan naik dan kuasa beli akan berkurangan.

Jadi, emas dan perak menjadi pilihan kerana sifat mereka mempertahankan nilai masing-masing berbanding dollar. Emas terkenal sebagai aset “risk-off”, aset yang dicari di kala selera risiko pelabur mula menurun.

Iklan

Satu lagi persoalan yang menarik ialah “Apa yang FED tahu?”. Suntikan wang ke dalam ekonomi di kala kemelesetan ekonomi seperti di zaman Covid-19 dahulu boleh difahami.

Sedangkan sekarang indeks pasaran saham seperti S&P 500 berada di kedudukan yang agak tinggi. Jadi, ada kegusaran bahawa FED menjangkakan ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan memperlahan dan tindakan pembelian bon ini merupakan satu tindakan pencegahan.

Biar apa pun, pembelian emas secara fizikal oleh bank-bank pusat dunia masih berterusan. Malah, institusi-institusi kewangan global yang besar pun sudah menasihati pelanggan masing-masing untuk menambah potfolio mereka dengan emas.

Ini menyebabkan permintaan ke atas emas tidak menurun walaupun harganya sudah naik melebihi 50 peratus tahun ini sahaja.

Permintaan ke atas perak di kala ini lebih kepada kegunaannya di dalam industri seperti industri elektronik.

Terdapat jurang di antara jumlah pengeluaran tahunan perak berbanding dengan penggunaanya di dalam industri. Jumlah penggunaan lebih besar.

Kepesatan industri tenaga boleh baharu dan kereta elektrik merupakan di antara sebab permintaan ke atas perak semakin tinggi.

Melihatkan kedudukan pengeluaran perak di ketika ini, sudah tentu syarikat besar-besar yang menggunakan perak di dalam produk mereka mahukan jaminan bekalan perak tidak terputus. Apabila permintaan meningkat, harga pun naiklah.

China juga telah mengumumkan sekatan ekspot perak dari negara itu mulai tahun hadapan. Ini sudah tentu menjadikan bekalan perak di dunia semakin tertekan.

Adakah ini semata-mata tindakan komersil atau pun ianya adalah tindakan geo-politik berdasarkan perkembangan peperangan dagang AS-China sekarang ini?

Pembelian besar-besaran emas dan perak secara fizikal juga boleh ditafsirkan sebagai salah satu kaedah menjual dolar Amerika atau pun de-dollarisation.

Proses ini sudah berlaku sekian lama terutamanya apabila AS dan Eropah merampas aset Russia kerana menyerang Ukraine.

Jika emas dan perak dibeli secara fizikal, bukan sahaja pegangan dolar dikurangkan oleh sesebuah negara, aset-aset berkenaan dikuasai sepenuhnya di dalam negara dan sudah tidak ada “counterparty risk” atau risiko pihak ketiga gagal memenuhi kontrak mereka.

Untuk memahami hala tuju harga emas dan perak, kita kena ambil tahu perkembangaan ekonomi dan politik antarabangsa.

Ini adalah kerana permainan ini di mainkan di peringkat “dewa-dewa”. Jika kita hanya melihat faktor domestik, kita mungkin terlepas pandang gambaran yang lebih besar dan lebih berpengaruh.

Sekarang bukan lagi era membuat keputusan pelaburan secara katak di bawah tempurung. Usahakan agar skop ilmu kita sentiasa meluas. Ini boleh dijadikan azam tahun 2026.