Makna di sebalik harga emas yang melambung

Iklan
Gambar hiasan

PENINGKATAN harga emas sememangnya mendapat perhatian masyarakat semenjak beberapa tahun kebelakangan ini.

Trend terkini terus menunjukkan harga emas terus memecah rekod sehingga ke paras AS$5,500 (RM2,1705) seaun pada minggu terakhir Januari 2026.

Iklan
Iklan

Sebagai perbandingan, harga emas pada akhir tahun 2022 yang mana ekonomi global dan Malaysia mula dibuka selepas terjejas akibat Covid-19 ialah AS$1,824.02 (RM 7,198.49) seaun.

Ini bererti harga emas telah meningkat sebanyak 172.2 peratus sehingga 6 Februari 2026 yang mana harga emas ditutup pada paras AS$4,964.36 (RM 19591.84) seaun.

Iklan

Manakala pajakan Islam atau Ar-Rahnu pula adalah merupakan suatu instrumen kewangan bagi masyarakat dan para peniaga bagi memperolehi sumber pembiayaan jangka pendek.

Tidak kurang juga skim pelaburan yang berasaskan emas yang banyak ditawarkan oleh pelbagai institusi termasuk sektor perbankan.

Iklan

Namun, apakah makna di sebalik kenaikan harga emas ini yang dilihat semakin memuncak?

Kebiasaannya apabila harga sesuatu instrumen pelaburan meningkat tinggi secara drastik maka ramai yang akan risau tentang risiko kejatuhan harga.

Tanggapan seperti itu tidak salah malahan ia adalah suatu pandangan yang rasional.

Perkara ini terbukti apabila terdapat fasa pembetulan harga yang telah menyaksikan kejatuhan harga emas lebih 10 peratus.

Fasa pembetulan harga pasaran adalah fenomena yang biasa berlaku dalam mana-mana instrumen pelaburan.

Persoalannya, mengapa harga emas boleh meningkat sehingga ke peringkat yang begitu tinggi? Apakah yang mendorong kepada kenaikan harga komoditi berharga tersebut?

Bagi menjawab persoalan ini, kita sememangnya perlu melihat hubungannya dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini adalah kerana mata wang dolar AS ini sering dilihat sebagai selamat dan kebiasaanya apabila berlaku ketidakpastian pasaran yang tinggi maka nilainya akan melonjak.

Pun begitu, kebiasaan ini tidak lagi berlaku. Malah, dolar AS dilihat semakin merosot. Berdasarkan indeks dolar AS atau DXY, ia telah merosot daripada 113.3 mata pada 14 Oktober 2022 dan sekarang indeks DXY ini berada di paras 97.6 mata.

Kejatuhan ini dilihat seiring dengan dasar ekonomi dan dasar luar negara pentadbiran Presiden Donald Trump yang dilihat akan memberi kesan negatif kepada ekonomi AS.

Sebagai contoh, tarif import dijangka akan menaikkan kos sara hidup di AS kerana peniaga dan rakyat mereka yang akan membayar tarif tersebut.

Penghantaran pulang golongan imigiran bakal menjejaskan produktiviti AS disebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap buruh asing.

Pengurangan peruntukan bagi pembiayaan insurans kesihatan akan menyebabkan ramai rakyat AS yang akan kehilangan perlindungan insurans kesihatan.

Dasar luar AS yang kontroversial termasuk wacana untuk mengambil alih Greenland daripada Denmark dan tindakan terhadap Presiden Venezuela telah mencetuskan tanda tanya tentang kelayakan dolar AS sebagai mata wang selamat dalam sistem kewangan global.

Perubahan ini mendorong pelabur mencari emas sebagai aset selamat alternatif yang nilainya kurang terikat kepada faktor politik dan bukan sahaja emas tetapi juga komoditi berharga lain seperti perak dan platinum mencatat kenaikan.

Namun, sebagai pelabur, seseorang itu perlu menjalankan usaha wajar agar mereka jelas akan risiko dan pulangan yang mereka harapkan apabila melabur dalam emas.

Tidak dinafikan, prospek harga emas untuk terus meningkat sememangnya ada.

Tetapi ketidakpastian pasaran akan terus menjadikan para pedagang cenderung untuk mengambil keuntungan dan sekali gus akan menyebabkan kejatuhan dalam harga emas.

Oleh itu, tepuk dada tanyalah iman.

* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad