RANCANGAN Pendidikan Negara (RPN) 2026 - 2035 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Januari lalu adalah satu transformasi baharu dalam sistem pendidikan Malaysia.
Ia merupakan satu dokumen reformasi nasional yang menyepadukan ruang lingkup ekosistem pendidikan negara, bermula dari pendidikan awal kanak-kanak hingga ke pendidikan tinggi dan seterusnya pendidikan kemahiran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
Rancangan itu juga bertujuan mengangkat pendidikan negara sebagai asas pembinaan bangsa Malaysia yang cemerlang dalam pelbagai laluan dan bukan terikat dalam kelayakan akademik semata-mata. Ia bersifat holistik dan relevan dalam pengukuhan jati diri dan identiti bangsa Malaysia dalam mendepani cabaran globalisasi semasa.
Jika diperincikan, RPN tersebut juga didapati menepati ciri-ciri proses pembinaan bangsa Malaysia yang dinamik. Ia dimulai dengan penekanan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak seawal usia enam tahun di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Walaupun kematangan kanak-kanak berbeza dari aspek latar belakang keluarga dan ekosistem persekitaran, namun terdapat sebahagian mereka yang mencapai kematangan seusia lima tahun disebabkan pendedahan teknologi dan kemasukkan dalam prasekolah.
Meskipun ada yang berpendapat usia tersebut terlalu awal untuk didedahkan dengan sistem persekolahan, namun ia bukan suatu yang wajib.
Hasrat kerajaan adalah untuk menggalakkan pendidikan seawal mungkin bagi kanak-kanak yang berkebolehan. Pendekatan itu adalah sesuatu yang baik bagi melahirkan generasi muda yang celik imu dalam membina bangsa Malaysia yang berdaya saing.
Selain itu, pembinaan bangsa Malaysia yang kompetatif juga memerlukan penguasaan yang mampan dalam bidang sains serta teknologi dan matlamat itu terangkum di bawah RPN.
Usaha kerajaan memperkasakan Technical and Vocational Education and Training (TVET), meliputi program seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah kepada semua bangsa dengan tujuan untuk menghasilkan graduan berkemahiran tinggi, usahawan muda yang kompeten dan berkemahiran dalam ekonomi digital.
Di samping itu kerajaan juga turut memberi keutamaan terhadap pembelajaran Kecerdasan Buatan (AI) bagi membolehkan para graduan dan generasi baharu adaptif dengan bentuk pekerjaan berteraskan AI.
Antaranya ialah pertanian pintar (IoT dron), e-dagang pelbagai produk dan sebagainya yang mana ia bersifat pembelajaran sepanjang hayat yang merentasi kelompok etnik, tanpa mengira agama dan warisan budaya.
Seiring dengan usaha tersebut, pendekatan kerajaan untuk memperkasakan identiti dan jati diri bangsa Malaysia dengan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam kurikulum kebangsaan adalah sesuatu yang wajar.
Menerusi penggunaan Bahasa Melayu di peringkat Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Antarabangsa dan juga Sekolah Persendirian, ia melatih kanak-kanak dari pelbagai kaum bertemu secara neutral untuk membina ikatan sosial dan identiti nasional.
Pengukuhan jati diri dan identiti bangsa Malaysia akan diterima sepenuhnya oleh generasi baharu dan seluruh anak watan, apabila mereka memahami susur galur sejarah negara yang diperkasakan melalui Perlembagaan Persekutuan.
Ia adalah undang-undang tertinggi yang mendokong pengukuhan negara bangsa dengan mengimbangi hak Istimewa dan hak asasi setiap warganegara.
Ini bermaksud, kefahaman terhadap sejarah yang merangkumi Perlembagaan Persekutuan akan membolehkan seseorang itu bertindak secara tepat dalam melindungi kestabilan negara-bangsa selain memupuk rasa kekitaan dan sepunya dalam kehidupan bermasyarakat.
Hal ini kerana setiap peruntukkan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berpaksikan keharmonian dan perpaduan kaum.
Sebagai contoh, Perkara 153 telah menetapkan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan memperkasakan perlindungan terhadap kepenting kaum-kaum lain.
Perkara 8 pula telah menetapkan jaminan hak kesamarataan yang mana setiap anggota masyarakat berhak memperolehi hak sama rata di sisi undang-undang dan berkelayakan mendapat perlindungan yang sama.
Dengan memperteguhkan semula mata pelajaran Sejarah, ia menunjukkan inisiatif kerajaan dalam mengharmonikan kepelbagainaan kaum dengan memberi kefahaman terhadap perkara-perkara sensitif yang wajib dihormati.
Dari situ, setiap anak watan dapat menghayati dan memahami mengapa lima perkara mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ditegah daripada dipertikaikan.
Ia merangkumi Perkara 3: Islam agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman; Perkara 152: Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan; Perkara 153: Hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah & Sarawak, kedududkan Raja-raja Melayu, iaitu Sistem Beraja berfungsi sebagai teras kedaulatan negara dan seterusnya adalah hak kewarganegaraan yang memberi fokus kepada perolehan dan pelucutan kewarganegaraan.
Melalui penghayatan dan kefahaman terhadap susur galur perkembangan Sejarah Malaysia dan Perlembagaannya, sudah tentu bangsa Malaysia dan generasi baharu mampu bertindak matang dalam menjaga kestabilan negara selain memupuk rasa kekitaan dan sepunya dalam mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia.
Oleh itu, penegasan Perdana Menteri untuk menjadikan mata pelajaran yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kursus wajib bagi para graduan di universiti, dan juga Bahasa Melayu serta Sejarah di peringkat sekolah, adalah satu tindakan yang rasional bagi jangka masa panjang.
Hasil kefahaman yang disemai dari peringkat sekolah, dan berkesinambungan ke tahap pengajian tinggi akan membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berfikiran matang dan bersatu dalam memajukan Malaysia ke persada dunia.
Dengan penyemaian nilai-nilai positif yang terangkum di dalam RPN, ia mampu menjadikan bangsa Malaysia berjiwa besar dalam mendepani pelbagai cabaran di masa akan datang, demi mempertahankan kesejahteraan negara.
Sebagaiman kata Presiden Mandela: “Youth of today are leaders of the future and their contribution in preserving the national unity within a diverse society is important to ensure a lasting political stability.”
*Professor Dr Wan Norhasniah Wan Husin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Undang-undang dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia