Penggunaan lafaz Islam oleh bukan Islam dalam perspektif akidah, fiqh

Iklan
Di Malaysia, Perkara 3(1) Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan. Isu akidah dan syiar Islam tidak wajar dibincangkan di Parlimen kerana ia dalam bidang kuasa agama.

ISLAM sebagai agama wahyu mempunyai syiar, simbol dan ungkapan khas berasaskan akidah tauhid. Lafaz seperti Alhamdulillah, Insya-Allah, Masya-Allah, Astaghfirullah, kalimah ALLAH, serta ayat al-Quran bukan sekadar adat dan bahasa, tetapi manifestasi penghambaan dan pengakuan iman kepada ALLAH.

Di Malaysia yang berbilang kaum, penggunaan lafaz tertentu oleh bukan Islam atas alasan toleransi atau kebiasaan sosial perlu diteliti dengan berhati-hati kerana ia melibatkan pemeliharaan akidah, syiar Islam, dan kefahaman umat.

Iklan
Iklan

Di Indonesia, kalimah ALLAH dihayati oleh umat Islam sebagai Yang Maha Esa. Sebaliknya, dalam konteks Kristian, termasuk di beberapa negara Arab, lafaz seperti “allah/alah” merujuk kepada Tuhan menurut konsep Triniti (Tuhan Bapa, Anak, dan Roh Kudus).

Bagi umat Islam, Nabi Isa adalah Nabi dan Rasul, bukan Tuhan. Sebarang sebutan berkaitan kalimah ALLAH seperti Alhamdulillah, Insya-Allah, Masya-Allah, Astaghfirullah tidak boleh dipersendakan atau dihina.

Iklan

Apabila lafaz ini dituturkan oleh penganut Kristian, ia merujuk kepada Jesus Christ menurut kepercayaan mereka, bukan ALLAH yang disembah umat Islam. Contohnya, Alhamdulillah bermaksud “Pujian pada ALLAH” tetapi bagi orang Kristian difahami sebagai “Pujian pada Jesus Christ/Triniti”, terutamanya dalam kalangan penganut Kristian dari negara-negara Arab.

Sebelum Islam tiba di Mesir sekitar +-641M, orang Kristian Qibti menyebut Tuhan sebagai ‘noute’ dalam bahasa Koptik. Sesudah itu penggunaan bahasa Arab dalam penulisan, lisan, dan pentadbiran, nama Tuhan mereka digantikan dengan ‘Allah’, yang dalam konteks Kristian merujuk kepada Jesus Christ dan konsep Triniti.

Iklan

Perkembangan agama Kristian oleh para misionari semasa zaman penjajahan di Indonesia turut mempengaruhi penulisan perkataan “Tuhan” dalam tulisan Jawi ‘ilahun/ilah’. Alif yang asalnya berbaris di bawah telah ditukar menjadi berbaris di atas, lalu dibaca sebagai ‘alahun/alah’. Inilah sebabnya orang Kristian di Indonesia ketika itu menyebut ‘alah’ sehingga hari ini.

Lafaz Islam dan hubungannya dengan iman

Dalam Islam, ucapan berkait rapat dengan iman. Firman ALLAH SWT dalam Surah Fatir ayat 10 bermaksud: “...Kepada ALLAH lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam perhitungan balasan), dan amalan yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amalan yang diterima di sisi ALLAH - yang memberi kemuliaan kepada orang yang melakukannya)...”

Ayat ini menunjukkan ucapan baik lahir daripada iman dan ketaatan. Ulama tafsir menjelaskan perkataan baik merangkumi zikir, pujian kepada ALLAH, dan pengakuan tauhid. Oleh itu, lafaz seperti Alhamdulillah, Insya-Allah, Masya-Allah, dan Astaghfirullah tergolong ibadah lisan yang bernilai akidah, bukan lafaz kosong.

Pengucapan tanpa iman dan percanggahan zahir dan batin

Menurut neraca akidah Islam, orang bukan Islam tidak beriman kepada ALLAH dengan iman yang sah. Maka, penggunaan lafaz-lafaz Islam oleh mereka berlaku tanpa asas iman. ALLAH menegur perbuatan mengatakan sesuatu yang tidak selari dengan hakikat diri dalam Surah as-Saff ayat 3 yang bermaksud: “Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” Ayat ini menunjukkan kecaman terhadap percanggahan antara ucapan zahir dan realiti batin.

Walaupun ayat ditujukan kepada orang beriman, kaedah usul fiqh menetapkan pengajaran diambil berdasarkan keumuman lafaz, bukan kekhususan sebab. Mengucapkan lafaz yang membawa pengakuan ketuhanan tanpa iman sebenar termasuk meremehkan syiar agama dan bercanggah dengan adab terhadap ALLAH.

Prinsip tamyiz, pemeliharaan agama

Antara tujuan utama syariah ialah memelihara agama, termasuk mengekalkan perbezaan jelas antara Islam dan kekufuran. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik.” (HR. al-Bukhari no. 5892; Muslim no. 259) Hadis ini menjadi asas agar identiti Islam tidak dicairkan melalui penyerupaan atau pencampuran yang mengelirukan.

Kekeliruan awam, mafsadah sosial

Dalam fiqh, menolak kemudaratan didahulukan daripada menarik kemaslahatan. Walaupun bukan Islam menggunakan istilah Islam atas dasar kesopanan, kesan mudaratnya tidak boleh dipandang remeh. Kekeliruan umat Islam yang cetek ilmu, kanak-kanak tentang identiti agama dan normalisasi pencampuran akidah merupakan mafsadah nyata dan berpanjangan.

Isu pluralisme, kesamarataan agama

Apabila lafaz, simbol, dan ayat suci Islam digunakan bebas oleh semua agama, ia memberi mesej bahawa semua agama dianggap setara. Al-Quran menegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 85 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

Kedudukan al-Quran, larangan merendahkannya

Al-Quran ialah kalam ALLAH yang suci dan mesti diagungkan. ALLAH menyatakan dalam Surah al-Waqi’ah ayat 79 yang bermaksud: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;” Jumhur ulama sepakat al-Quran wajib dipelihara kehormatannya dan tidak diperlakukan tanpa adab.

Kedudukan Perlembagaan Malaysia

Di Malaysia, Perkara 3(1) Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan. Isu akidah dan syiar Islam tidak wajar dibincangkan di Parlimen kerana ia dalam bidang kuasa agama. Larangan bukan Islam menggunakan lafaz dan ayat al-Quran bertujuan memelihara akidah, syiar, dan kefahaman umat, terutama generasi muda. Islam menghargai hidup aman bersama, tetapi tidak mengorbankan sempadan iman. Toleransi sebenar bermakna menghormati perbezaan agama, bukan mengaburkannya.

Dari sudut orang Islam, prinsip ini berpegang kepada firman ALLAH SWT dalam Surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” dan mana-mana kalimah ALLAH dalam al-Quran adalah hak eksklusif orang Islam.

*Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang pendakwah