PAPARAN berita mengenai lambakan sampah di beberapa lokasi tumpuan pelancong sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada malam Krismas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung dalam menjaga kebersihan.
Tindakan itu menunjukkan bahawa tanpa tingkah laku bertanggungjawab, kemeriahan meraikan sesuatu perayaan akan meninggalkan beban kerja besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam menjaga imej negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa menggerakkan kerja-kerja pembersihan segera bagi memastikan kawasan pusat bandar kembali bersih, teratur dan selesa untuk kegunaan orang ramai serta pelancong.
Hakikatnya, isu tersebut bukanlah perkara baharu malah setiap kali sambutan perayaan, masalah sama pasti akan berulang seolah-olah kesedaran sivik masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Justeru itu, pendekatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat adalah bertepatan dalam usaha mendidik masyarakat memelihara kebersihan dan mengubah sikap untuk tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.
Undang-undang di bawah Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 itu, tiada pihak dikecualikan termasuk pelancong asing.
Mereka yang didapati bersalah membuang sampah di tempat awam akan berdepan hukuman sehingga 12 jam dan denda sehingga RM2,000 dan mereka akan mengalami sendiri perbuatannya terhadap komuniti.
Namun, hukuman semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai dengan perubahan sikap dan kerjasama semua pihak sama ada peniaga, pengunjung mahupun penganjur acara, amat diperlukan bagi memastikan kebersihan bandar sentiasa terpelihara.
Kuala Lumpur sebagai wajah negara seharusnya menampilkan persekitaran yang bersih dan berdisiplin.
Jika mentaliti masyarakat tidak berubah, maka setegas mana pun penguatkuasaan, isu sampah akan terus berulang, sekali gus menjejaskan reputasi negara.
Sambutan Tahun Baharu 2026 akan tiba tidak lama lagi, pantaulah peniaga yang menjual tin-tin penyembur buih, warna dan sebagainya.
Difahamkan juga akan ada anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menyamar membuat pemantauan dan berada di kawasan-kawasan awam.