APABILA kerajaan memperkenalkan MyKad versi baharu dengan ciri keselamatan dipertingkatkan, reaksi rakyat mudah dijangka: “Baguslah... tapi jangan bocor lagi.”
Memang santai bunyinya, tetapi sarat makna. Bukan apa, semakin canggih teknologi keselamatan dibina, semakin tinggilah kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan kebocoran.
Sejarah MyKad bukan cerita baharu. Sejak diperkenalkan pada April 2001, Malaysia antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan kad pintar pelbagai guna untuk pengenalan diri rakyat.
Ketika banyak negara lain masih menggunakan kad bercetak biasa, MyKad melangkah jauh dengan cip pintar, biometrik cap jari dan pelbagai fungsi dalam satu kad. Waktu itu, MyKad boleh dianggap ‘mendahului zaman’.
Kini selepas lebih dua dekad, MyKad sudah memasuki fasa revolusi baharu. Bermula 1 Jun nanti, kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijadualkan bakal memperkenalkan MyKad generasi baharu.
Ini bukan sekadar menukar rupa sekeping kad plastik, tetapi perubahan besar dalam landskap keselamatan identiti negara. Mudah kata, bukan sekadar facelift semata-mata, tetapi naik taraf enjin penuh.
MyKad baharu direka dengan pendekatan menyeluruh, menutup ruang longgar dan mengetatkan sistem yang sebelum ini mudah diakses.
Ciri paling ketara ialah kod QR terbina. Ia membolehkan pengesahan identiti pantas dan digital oleh pihak berkuasa. Cip berkuasa tinggi dengan penyulitan moden itu menjadikan data sukar digodam.
Dari segi biometrik pula, MyKad generasi baharu boleh menyimpan 10 cap jari, imbasan wajah dan iris. Satu lonjakan besar berbanding sistem terdahulu. Ringkasnya, kalau dulu satu kunci, sekarang siap mangga dan penggera.
Namun, kecanggihan fizikal MyKad bukan satu-satunya inovasi. Elemen penting lain ialah MyDigital ID.
Jika MyKad adalah identiti fizikal di dompet, MyDigital ID berfungsi sebagai pengenalan digital tunggal untuk urusan dalam talian. Ia bukan pengganti MyKad, tetapi pelengkap ekosistem digital negara.
Kerajaan juga menyasarkan 15 juta pendaftaran MyDigital ID menjelang akhir tahun ini. Setakat pertengahan Januari 2026, kira-kira 8.7 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar.
MyDigital ID dijangka digunakan meluas dalam perbankan, telekomunikasi, e-dagang dan sektor kesihatan sebagai sistem single sign-on. Gabungan MyKad fizikal dan MyDigital ID menunjukkan Malaysia serius membina sistem identiti digital kukuh.
Namun persoalan sama tetap akan dibangkitkan ramai pihak. Semakin canggih teknologi, adakah pengurusan dan integriti sistem bergerak seiring?
Ancaman pemalsuan identiti hari ini jauh lebih kompleks berbanding tahun 2001. Sindiket bukan sekadar mencetak kad palsu, malah mengeksploitasi data, sistem dan kelemahan pengurusan.
Memetik Pensyarah Kanan Pusat Kompetensi Keselamatan Siber dan Forensik Digital, Dr Mohsen Mohamad Hata yang berpandangan, pembaharuan MyKad itu selari dengan usaha membanteras pemalsuan kad pengenalan selain merupakan kuasa baharu dalam ekosistem digital dan tadbir urus moden termasuk pemberian bantuan atau subsidi kerajaan.
Justeru, MyKad baharu diharapkan mampu mengekang penyelewengan subsidi dan ketirisan bantuan kerajaan. Dalam konteks ekonomi yang mencabar, rakyat mahu sistem yang adil. Subsidi sampai kepada yang layak, bukan kepada pemilik kad palsu yang hidup mewah.
Rakyat tidak menolak inovasi, malah tetap menyambut baik pendekatan kerajaan. Namun sokongan itu datang bersama satu mesej jelas.
Mereka mahu jaminan bahawa data peribadi dilindungi dan penguatkuasaan benar-benar berlaku, bukan sekadar pengumuman di sidang media.
*Arziana Mohmad Azaman ialah Sub Editor Sinar Harian