SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan 12 lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan kontroversi penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai sekitar AS$30 juta (kira-kira RM140 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara bagi tatapan umum.
Lukisan milik saksi kes 1MDB, Jasmine Loo itu dipegang Christie's dan Sotheby's Auction House AS, antaranya hasil Pablo Picasso berjudul L'Ecuyere et les clowns (1961), Composition oleh Joan Miró (1953), Still Life oleh William H Bailey (b. 1930), Studies for Sculpture oleh Alexander Calder (1898–1976) serta karya Henri Matisse, Femme Assise.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pihaknya telah membuat perancangan rapi sejurus karya seni itu tiba di Malaysia.
Menurutnya, ketika ini faktor logistik menjadi keutamaan untuk membawa pulang karya ternama itu.
"Kita sedang menilai kos dan keperluan logistik kerana aset ini akan dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran (shipping).
"Kita juga ada merancang untuk meletakkan karya itu di Balai Seni Negara dan tidak tolak kemungkinan untuk dijadikan sebagai pameran kepada orang awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Mohamad Zamri, buat masa ini SPRM masih lagi meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset termasuk hartanah dan kewangan bernilai tinggi.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan kos bagi membawa pulang aset berkenaan adalah tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing.
Pemulangan aset-aset itu telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Sinar Harian difahamkan, setakat ini hanya lapan lukisan akan dibawa pulang dahulu, manakala empat lagi masih dalam proses perintah mahkamah.
Dalam satu kenyataan 13 Disember lepas, SPRM telah mengetuai dua siri perbincangan rasmi bersama FBI serta DOJ di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu bagi memperkukuh kerjasama siasatan dan pemulihan aset 1MDB.
Perbincangan yang diketuai Mohamad Zamri turut dihadiri Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.
Mesyuarat bersama FBI telah dipengerusikan Section Chief Spencer Horn Chris Padurano, (Washington D.C.) manakala perbincangan di New York telah dipengerusikan Assistant Special Agent in Charge, Paul Roberts.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nilai keperluan logistik, kos bawa pulang aset 1MDB
1MDB: SPRM tingkat siasatan terhadap firma guaman antarabangsa
Pemulihan aset 1MDB: USDOJ setuju kembalikan 12 lukisan bernilai tinggi
Skandal 1MDB contoh kes paling kompleks dalam sejarah siasatan kewangan - SPRM