'Air naik terlalu cepat, kami keluar rumah sehelai sepinggang'

Iklan
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Bukit Rangin pada Jumaat. Gambar kecil dari kiri: Siti Sharmina, Fatimah dan Kamaruddin.

KUANTAN – “Air naik terlalu cepat, saya tidak sempat selamatkan apa-apa dan hanya keluar sehelai sepinggang.”

Demikian luahan Siti Sharmina Fairus Shamsudin, 33, yang pertama kali berdepan banjir besar selepas rumah sewanya di Kampung Teluk Mahang dinaiki air sejak Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka sekeluarga keluar tergesa-gesa sekitar jam 1 pagi apabila paras air meningkat dengan begitu pantas.

“Saya baru menyewa di situ dan memang tidak sangka air boleh naik seteruk ini sehingga rumah hampir tenggelam.

Iklan

"Suami pun beritahu tiada satu pun barang yang boleh diselamatkan, kami hanya mampu membawa dokumen penting sahaja,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.

Iklan

Mengulas lanjut, ibu kepada enam anak itu mendedahkan bahawa barangan penting termasuk televisyen, mesin basuh, peti sejuk serta dua motosikal mungkin musnah akibat banjir.

“Kalau semua barang itu rosak, saya anggarkan kerugian lebih kurang RM10,000, tetapi semua itu hanya dapat dipastikan selepas pulang ke rumah,” tambahnya.

Seorang lagi mangsa, Fatimah Sulaiman, 46, berkata, kejadian banjir bukan lagi perkara asing bagi penduduk di Batu 5, Jalan Gambang kerana ia berlaku hampir setiap tahun.

Jelasnya, bagaimanapun banjir kali ini lebih buruk daripada kebiasaan sehingga menyebabkan mereka sekeluarga perlu berpindah segera.

“Biasanya air biasa saja, tapi kali ini lebih tinggi. Air masuk rumah paras betis sekitar jam 1 pagi dan kami sekeluarga terus berpindah ke PPS,” ujarnya.

Fatimah berharap pihak berkuasa mengambil langkah penambahbaikan bagi mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan itu.

Sementara itu, Kamaruddin Abdul Rahman, 68, dari Kampung Cendering, pula berpindah ke PPS selepas air memasuki dapur rumahnya beberapa hari lalu.

“Air masuk dapur dan tandas tidak boleh digunakan, jadi kami pindah. Hari ini air sudah surut, jadi saya balik untuk membersihkan rumah,” katanya.